BERITA

'Seret ke mahkamah, saya dedah Najib'

Diterbitkan
Dikemaskini 4 Mac 2009, 11:26 tengahari

dikemaskini Seorang pemimpin PKR mencabar polis menyeretnya ke mahkamah agar dapat mendedahkan butiran dakwaan percubaan Datuk Seri Najib Razak merasuah wakil rakyat Pakatan Rakyat untuk melompat parti bagi menjatuhkan kerajaan Perak.

"Saya bersedia untuk ke mahkamah di mana saya akan berpeluang mendedahkan semua bukti yang saya ada termasuk rakaman tentang perbualan dan perbincangan saya tentang isu membeli Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan yang diusahakan oleh Najib," kata ketua bahagian PKR Ipoh Barat, Fauzi Muda.

"Saya mendesak polis agar segera mendakwa saya di mahkamah adalah kerana saya tahu pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis pasti tidak akan mendakwa Datuk Seri Najib di mahkamah terhadap apa yang telah saya laporkan.

fauzi lodge macc report in ipoh 040309 "Jadi jika mereka mendakwa saya, itulah saja jalan yang terbaik untuk saya berdepan dengan Najib di mahkamah dan mendedahkan segala bukti-bukti yang ada pada saya terhadap rasuah dan pembelian Adun yang melompat parti dan menyokong BN."

Dalam satu kenyataannya hari ini, beliau juga mendakwa SPRM tidak berminat menyiasat aduannya atau mengambil tindakan terhadap timbalan perdana menteri.

Sebaliknya polis seolah-olah diarah untuk bertindak terhadapnya berhubung akuan berkanun yang mengandungi butiran dakwaan tersebut, kata Fauzi lagi.

"Saya telah dipanggil oleh pihak C Team Ipoh pada 10 Februari 2009 untuk diambil keterangan.

"Tetapi selepas itu saya berkali-kali dihubungi oleh pihak polis untuk datang memberi keterangan tambahan kepada mereka," katanya.

Tambahnya, kelmarin beliau diminta ke Cawangan Jenayah Berat polis Ipoh untuk diambil keterangan berhubung akuan itu.

Dalam akuannya bertarikh 2 Februari lalu, Fauzi mendakwa Najib menawarkan sejumlah besar wang untuk memujuknya melobi dua wakil rakyat Pakatan Rakyat di Perak supaya melompat parti.

Pertemuan itu diadakan di kediaman rasmi timbalan perdana menteri di Putrajaya beberapa hari selepas pilihanraya umum 8 Mac tahun lepas.

Fauzi mendakwa, beliau ditawar RM50 juta bagi perkhidmatannya itu dan untuk membayar mereka yang berjaya dipujuk melompat parti. Bagaimanapun, katanya, beliau tidak membuat apa-apa tindakan untuk memenuhi hasrat Najib itu.

Sehubungan itu, Fauzi mempertikaikan motif dan tujuan polis menyiasatnya dalam kes tersebut sedangkan akuan berkanun yang dibuatnya itu untuk tindakan SPRM.

Katanya, beliau amat kecewa kerana polis bertindak di luar bidang siasatan kerana pihak Najib sendiri tidak membuat laporan terhadapnya.

"Sehubungan dengan ini, saya ingin menegaskan dan mendesak pihak polis yang cukup serius menyiasat akuan bersumpah saya itu, agar segera mendakwa saya di mahkamah," tambahnya.

zainal abidin zin pc 030209 02 Bekas timbalan menteri pertahanan Datuk Zainal Abidin Zin mengesahkan memang ada pertemuan antara Najib dengan Fauzi pada 11 Mac tahun lalu seperti didakwa.

Beliau - yang turut dinamakan dalam akuan berkanun Fauzi - bagaimanapun tidak mengetahui butiran perbincangan antara pemimpin PKR itu dengan timbalan presiden Umno.

Menurut Zainal lagi, perbincangan itu diadakan di tempat terbuka di kediaman rasmi Najib - waktu itu menteri pertahanan - tetapi tidak mendengar perbualan Fauzi itu kerana terdapat ramai orang di situ.

Zainal juga mengakui beliau menaiki kereta yang sama dengan Fauzi dan seorang rakannya Sulaiman Mansor, yang juga seorangan rakan Fauzi.

Bagaimanapun, tegasnya, beliau tidak mengenali Fauzi dan tidak mengetahui bahawa Fauzi seorang pemimpin PKR.

Baca berita penuh

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.