Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum
ULASAN | Gaza, simbol utama kekejaman barat terhadap umat Islam

Pengumuman Gencatan senjata dan 'tamat perang' Gaza telah disambut umumnya dengan kegembiraan dan sikap 'skeptikal' oleh dunia.

Gencatan senjata tersebut hanyalah sementara bagi Israel dan persoalan utama adalah untuk siapa dan apakah pengumuman ini di buat?

Presiden Joe Biden dan Donald Trump kedua-duanya mengakui kejayaan gencatan tersebut adalah hasil usaha peribadi mereka.

Waktu pengumuman itu dibuat beberapa hari sebelum Trump mengambil-alih tempat Biden sebagai presiden Amerika Syarikat (AS) - menunjukkan motif politik semata-mata, yang jelas kelihatan bagi meraih populariti.

Dalam ucapannya Biden menyatakan kejayaan gencatan senjata ini akan mengakhiri "penderitaan panjang rakyat Gaza yang telah mengalami neraka di dunia yang dahshat".

Siapakah yang membolehkan neraka di dunia ini berlaku dengan membekalkan bom serta senjata canggih selama 15 bulan lepas ini kepada Israel kalau bukan Biden dan AS?

Trump pula mengugut dengan menjanjikan "all hell will break loose" - neraka akan berlaku, jika pihak berkenaan tidak menepati kehendak AS di Gaza.

Kedua-dua presiden AS tersebut berlagak seolah-olah seperti merekalah tuhan di dunia dengan menjanjikan neraka kepada siapa yang ingkar kehendak mereka.

Sebenarnya AS sudah lama boleh hentikan penderitaan di Gaza jika mereka menghentikan bekalan senjata dan bom kepada Israel.

Marilah kita berdoa agar gencatan senjata ini akan kekal untuk menyelamatkan rakyat Gaza dan akan lahirnya sebuah negara berdaulat bernama Palestin.

Kita berharap penderitaan genosid kejam di Gaza telah membuka mata terutamanya rakyat dan kerajaan negara-negara barat dan juga Arab tertentu tentang sikap hipokrit kerajaan mereka yang tidak bertindak seperti sepatutnya.

Jatuhnya kerajaan Syria baru baru-baru ini menimbulkan kerisauan di negara-negara Arab lain, seperti Mesir sekutu rapat AS, tentang kuasa rakyat untuk mencetuskan "Arab spring" baru atas perasaan tidak puas hati sikap kerajaan mereka.

Palestin walaupun kecil tetapi ia sangat bermakna dan berupaya menyatukan umat Islam sedunia menghadapi kekejaman Israel dan negara Barat.

Apa jua janji-janji manis dan palsu negara Barat untuk melalaikan umat Islam sedunia, sudah cukup bukti pahit yang nyata dan sikap penjajah dan munafik mereka selama ini.

Perjalanan dan ranjau-ranjau yang mesti dilalui oleh rakyat Palestin masih jauh dan kita mesti senantiasa berwaspada dengan tipu helah musuh Islam yang ingin melalaikan dan memecahbelahkan umat Islam.

Kepada Allah kita terus berdoa dan berserah untuk bumi Palestin dan kejayaan umat Islam sedunia. Insya-Allah.


RAJA BAHRIN SHAH adalah Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS