Tragedi pembulian sehingga menyebabkan kematian, sama ada secara sengaja atau secara tidak langsung, yang menimpa seorang pelajar berumur 13 tahun di Papar, Sabah, saudari Zara Qairina mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat yang luar biasa di Sabah sehingga merebak ke seluruh negara.
Malah ada rakyat Malaysia yang berada di luar negara turut menyatakan solidariti agar keadilan serta pembelaan segera untuk Zara dan keluarga almarhumah.
#KeadilanuntukZara atau #JusticeforZara menjadi tanda pagar kempen menuntut pembelaan dan keadilan.
Kematian Zara membangkitkan perasaan keadilan yang mungkin pertama kali kita lihat dalam sejarah kebangkitan rakyat Sabah, apabila kebanyakan daerah di Sabah dianjurkan himpunan solidariti kepada Zara.

Setiap daerah mengumpulkan puluhan ribu kalau tidak pun ribuan orang yang turun ke jalan untuk bersolidariti.
Dalam sejarah kebangkitan rakyat, kematian orang-orang kecil yang tidak dikenali sebagai orang politik biasa menjadi pencetus kepada kebangkitan ini.
Lama sebelum Zara, kematian Mohamed Bouazizi di Tunisia menjadi pencetus kepada revolusi di Tunisia yang dikenali sebagai Revolusi Jasmine sekaligus mencetuskan kebangkitan Musim Semi Arab (Arab Spring).
Di Indonesia, walaupun sudah ada demonstrasi besar-besaran, namun kematian Affan Kurniawan akibat ditabrak atau dilanggar oleh pihak polis Indonesia menyalakan api kemarahan rakyat di seluruh negara kepulauan itu.

Namun, apakah makna di sebalik kebangkitan ini, terutama untuk kita di Malaysia? Kes-kes buli bukanlah sesuatu yang baru.
Kes pembulian ini sudah berlaku terlalu lama dan masih terdapat kes-kes ini. Kesilapan prosedur atau wujud salah laku daripada pihak berkuasa seperti polis juga bukanlah perkara baru.
Sudah banyak aduan dan keluh kesah, malah sehingga tindakan saman daripada rakyat biasa yang menunjukkan institusi polis dan kepolisian ini perlu diperbaiki.
Satu perkara yang Kerajaan Madani perlu ambil, dalam merespon kepada tuntutan untuk kes Zara, kes Wan Ahmad Faris dan kes-kes lain yang melibatkan ketidakcekapan atau malah salah laku pihak berkuasa, terutama polis, adalah dengan mendesak untuk reformasi institusi polis itu sendiri.

Memang betul sekarang ada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis atau Independent Police Conduct Commission (IPCC).
IPCC diperkenalkan zaman Perikatan Nasional pada Julai 2022 bagi menggantikan RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis atau Independent Police Complaints and Misconduct Commission (IPCMC) yang sebelum itu dibawa oleh Pakatan Harapan. IPCC secara rasmi berkuatkuasa pada 1 Julai 2023.
Namun, IPCC ini amat lemah, malah mungkin tak ada pun tak mengapa kerana ada tak menambah, hilang tak terasa.
Kelemahan paling ketara IPCC adalah komposisi suruhanjaya ini, dengan polis sendiri boleh berada dalam surujanjaya ini (makna lain, suruhanjaya ini tidak bebas).

Kuasa IPCC pula hanya untuk berunding dengan agensi lain. IPCC juga tiada kuasa menyiasat atau menyemak aduan, dan perlu kembalikan kepada Suruhanjaya Polis untuk diambil tindakan.
Struktur dan reka bentuk suruhanjaya ini hanya untuk menjadi penghias agar ada badan lain yang seolah-olah memantau tatakelakuan pihak polis.
Kini, kita perlu menuntut semula supaya IPCC ini ditambah baik dan ditukar ke IPCMC untuk mempunyai kuasa yang secukupnya bagi menerima aduan dan menyiasat polis yang membuat salah laku.
Tidak cukup untuk menteri dalam negeri hanya menggunakan mekanisme yang sedia ada seperti yang beliau sebutkan di dalam parlimen.

Apa yang lebih segera adalah untuk memikirkan dan bertindak mereformasikan institusi polis itu sendiri.
Namun, malangnya tidak ada yang membangkitkan keperluan mereformasi IPCC kepada IPCMC semasa Saifuddin Nasution membentangkan kronologi kes Zara di Parlimen, baik daripada PH ataupun PN.
Jika tidak ada sebarang reformasi di peringkat polis, tuntutan pembelaan untuk Zara tidak dapat berkembang melebihi keadilan untuk beliau secara peribadi, ketimbang kita boleh pastikan agar proses keadilan yang tempang yang menimpa Zara, Wan Ahmad Faris dan mereka yang mengalami nasib yang sama, untuk tidak berulang lagi.
Lantas, orang-orang kecil dan rakyat biasa boleh membuat aduan tanpa ada rasa takut dan sangsi.
Rakyat biasa akan mempunyai platform yang lebih kukuh untuk mereka menyampaikan aduan dan lebih yakin tindakan yang lebih bebas dan adil akan diambil tanpa ada bolak balik atau dolak dalih.
ASRAF SHARAFI pemangku pengarah eksekutif gabungan Bersih.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
