ULASAN | Kita tidak menolak kemajuan. Kita tidak antipembangunan. Tetapi persoalan asasnya ialah arah dan jiwa pembangunan itu sendiri.
Sindrom “nak jadi Dubai kedua” sebenarnya mencerminkan satu krisis yang lebih dalam iaitu krisis keyakinan terhadap identiti sendiri.
Kita seolah-olah percaya bahawa untuk maju, kita mesti meniru. Untuk berjaya, kita mesti menjadi orang lain. Sedangkan sejarah telah membuktikan perkara sebaliknya.
Kesultanan Melayu Melaka pernah menjadi pusat perdagangan dunia, bukan kerana meniru mana-mana tamadun, tetapi kerana membina kekuatan atas identiti sendiri berasaskan Islam, budaya tempatan, keterbukaan perdagangan dan kebijaksanaan diplomasi.

Dubai hari ini bukan sekadar bandar mewah. Ia adalah hasil strategi, disiplin dan keberanian membentuk identiti sendiri dalam konteks mereka.
Tetapi persoalannya, adakah kita benar-benar faham konteks mereka, atau sekadar terpesona dengan rupa luaran?
Realitinya, meniru tanpa memahami konteks hanya akan melahirkan pembangunan yang kosong jiwa.
Bangunan gah tetapi tidak mencerminkan budaya setempat.

Ekonomi berkembang tetapi tidak mengakar kepada rakyat. Pelancongan hidup tetapi identiti tempatan makin terhakis.
Kita harus berani mengakui bahawa Kuala Lumpur tidak perlu menjadi Dubai. Kuala Lumpur mesti menjadi Kuala Lumpur.
Pembangunan yang kita perlukan ialah pembangunan yang berpaksikan nilai Islam sebagai agama Persekutuan, mengangkat warisan Melayu dan kepelbagaian budaya secara harmoni, mengutamakan kesejahteraan rakyat dan menonjolkan keunikan tempatan sebagai kekuatan global.
Dunia hari ini tidak lagi mencari tiruan. Dunia mencari keaslian.

Kalau kita terus membina dengan mentaliti menjadi orang lain, kita akan kehilangan dua perkara sekaligus iaitu identiti sendiri dan kepercayaan dunia.
Akhirnya, persoalan paling penting ialah kita mahu dikenali sebagai siapa. Bayangan orang lain, atau sebuah bangsa yang berdiri dengan jati diri sendiri.
Selangor dan Malaysia tidak kekurangan potensi. Yang kita perlukan ialah keberanian untuk percaya pada diri sendiri.
MOHAMED SUKRI OMAR Ketua Pemuda PAS Selangor.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
