ULASAN SUKAN | Seluruh rakyat menyambut Hari Malaysia semalam dengan rasa penuh semangat patriotik. Ia adalah hari penting untuk memupuk perpaduan negara serta memperingati sejarah pembentukan Malaysia.

Sifat patriotik sama itu jugalah digalas oleh 352 atlet dan 185 pegawai apabila mereka memulakan cabaran negara menghadapi temasya Sukan Asia 2026 yang bermula hari ini.

Mereka hadir di Aichi-Nagoya di Jepun bukan mahu melakar nama untuk kegemilangan peribadi sebaliknya memastikan setiap rakyat merasai detik bangga dan gembira bersama-sama.

Sekurang-kurangnya ketika kita menempuh pelbagai cabaran semasa di sini, setiap butir pingat emas yang dituai itu nanti mampu menjadi penawar duka.

Mungkin rutin harian dapat dilupakan sementara kerana ini adalah detik rakyat akan bersama mendoakan kejayaan setiap atlet negara.

Ini bukan sesuatu yang baru. Hal itu kerana pada setiap edisi Sukan Asia sebelum ini, semangatnya sentiasa membara. Ia adalah misi demi negara yang kita cinta. Ia juga medan mempertahankan maruah agar mampu berdiri sama tinggi dengan jaguh dari negara lain.

Dalam saat-saat seperti inilah isu kaum, agama, budaya atau pun politik akan dilupakan buat sementara.

Elemen tersebut boleh disenyapkan seketika supaya tumpuan penuh terarah kepada perjuangan atlet negara yang berjuang. Semua tertumpu kepada satu matlamat iaitu memburu pengiktirafan demi Jalur Gemilang.

Jadi, apakah sajian kontinjen negara kita kali ini?

Sebagai pencerahan, pengurusan kontinjen meletakkan sasaran untuk pulang dengan enam emas, tujuh perak dan 20 gangsa.

Ia seharusnya bukan misi yang sukar. Malah, kita ada kemampuan untuk menambah lagi pungutan itu.

Cuma tunggu dan lihat saja

Kita pun tidak tahu hal sebenarnya. Mana tahu ada pegawai dan pengurusan pasukan sudah berbisik-bisik kepada atlet untuk menambahkan kilauan emas dan bukan setakat enam saja.

Kalau benar, baguslah.

Tanpa pilihan, status sang juara akan tetap disandarkan ke atas cabang sukan seperti badminton, basikal trek, skuasy atau pun sepak takraw, wushu, pelayaran dan juga e-sukan.

Disiplin itu dijangka menjadi penyumbang besar dalam mencapai hajat negara.

Harap selepas tamat edisi di Jepun ini kita dapat melihat perwatakan lebih berani daripada supremo sukan negara dari segi meletakkan sasaran.

Sudah tiba masanya kita memburu angka dua atau sekurang-kurangnya 10 emas pada setiap edisi Sukan Asia yang akan datang. Alasannya juga ada. Kita sudah melabur besar dalam sukan sejak beberapa dekad lalu, maka hasil yang dituai perlu setimpal.

Persembahan terbaik kontinjen negara ialah Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China apabila kita pulang dengan sembilan emas, 18 perak dan 14 gangsa.

Jika angka emas itu sudah mampu dicapai, bererti sasaran pada ketika ini harus lebih tinggi. Itu lojiknya. Tapi pada tiga edisi berikut pencapaian kita makin merosot pula. Kenapa?

Antara sebabnya mungkin kita asyik menyandarkan harapan ke atas cabang sukan yang sama saja pada setiap edisi.

Pada 2014 di Incheon, kita pulang dengan lima emas, kemudian di Palembang (2018), tujuh emas dan di Hangzhou (2023) kita meraih enam saja.

Tak ada apa-apa pilihan

Amat tidak wajar kita ‘melawan’ dengan pakar sukan dan pihak pengurusan yang lebih mendekati dengan perkembangan semasa atlet. Tambahan, kumpulan ini juga lebih mahir dari segi data dan statistik sukan, berbanding kita.

Pada saat ini kita hanya dapat ‘tunggu dan lihat’ saja.

Kepada setiap atlet, erti memburu gemilang sudah pun masak dalam minda mereka. Beri mereka ruang sekali lagi untuk berjuang di Jepun dengan rasa tenang dan yakin. Mereka boleh.

Sejak menyertai temasya terbesar benua itu buat pertama kali pada 1954, kontinjen negara sudah mengumpul keseluruhan 344 pingat iaitu 69 emas, 109 perak dan 166 gangsa.

Cuma ada ketikanya kita pulang tanpa sebarang pingat emas dalam genggaman iaitu pada 1954 di Manila, 1958 (Tokyo), Tehran (1974) dan Seoul (1986).

Namun, tuaian pingat kita jelas masih jauh berbanding sumbangan negara kuasa sukan yang lain seperti China yang sudah menghimpun keseluruhan 3,570 pingat manakala Jepun 3,242 dan Korea Selatan 2,425.

China juga dikhabarkan akan menghantar 36 juara Olimpik ke Sukan Asia kali ini.

Kita pula bagaimana? Mahu atau tidak, atlet negara harus menonjolkan diri di Aichi dan Nagoya kali ini.


V ASHOK ialah bekas pengarang sukan dan pengarang berita luar negara di Berita Harian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.