ULASAN | Ada teater yang selesai apabila tirainya ditutup. Ada pula teater yang terus bermain dalam fikiran selepas penonton meninggalkan panggung. Mansur & Liu berada dalam kelompok yang kedua.

Saya sempat menyaksikan Mansur & Liu di Istana Budaya pada malam Hari Malaysia. Terima kasih Natassya membantu memudahkan. Ada kelibat Ronasina, Sabri Yunus dan isteri pada malam itu.

Karya arahan M Nasir ini bukan sekadar kisah cinta di antara Sultan Mansur Shah dengan Puteri Liu. Di sebalik gemerlapan busana, kemegahan set, keindahan muzik dan kehebatan para pelakonnya, tersembunyi suatu percaturan makna tentang kuasa, diplomasi, maruah, pengkhianatan dan pertemuan dua peradaban.

Saya melihat Mansur & Liu melalui tiga jendela komunikasi yang dekat dengan dunia pemikiran saya iaitu propaganda, penceritaan dan retorik.

Perkataan propaganda sering difahami secara pejoratif seolah-olah semuanya manipulasi, pembohongan dan penipuan. Padahal dalam pengertian yang lebih luas, propaganda ialah usaha menyusun lambang, cerita, emosi dan citra untuk membentuk persepsi khalayak.

Dalam Mansur & Liu, propaganda tidak hadir dalam bentuk slogan yang menjerit. Ia bergerak secara halus melalui imej, watak, muzik, kostum, dialog dan simbol kebesaran kerajaan.

Melaka dipersembahkan bukan sekadar sebagai sebuah kerajaan, tetapi kuasa besar yang mempunyai wibawa politik dan kecanggihan diplomasi. China pula tidak digambarkan semata-mata sebagai kuasa asing, tetapi sebuah peradaban besar yang perlu didekati dengan kebijaksanaan.

Di sinilah cinta di antara Mansur dengan Liu menjadi lebih besar daripada hubungan dua insan. Cinta dijadikan lambang pertemuan dua dunia. Perkahwinan menjadi bahasa diplomasi. Perasaan peribadi berubah menjadi urusan negara.

Itulah kekuatan propaganda budaya. Ia tidak memaksa khalayak menerima sesuatu pendapat. Sebaliknya, ia mencipta suasana sehingga khalayak sendiri berasa bahawa sesuatu gambaran itu benar, besar dan wajar dipercayai.

Cinta jadi pintu persoalan besar

Kemegahan set membina citra kekuasaan. Busana mencipta kewibawaan. Muzik membangkitkan rasa bangga dengan 30 lagu baru ciptaan M Nasir. Watak antagonis pula memperlihatkan bahawa sesebuah kerajaan bukan hanya terancam oleh musuh dari luar, tetapi juga oleh kerakusan, pengkhianatan dan nafsu kuasa dari dalam melalui watak Datuk Syahbandar.

Namun, propaganda yang baik bukan sekadar mengagungkan masa lampau. Ia seharusnya membuka ruang untuk khalayak bertanya: apakah ertinya kerajaan yang megah jika manusia di dalamnya kehilangan amanah? Apakah gunanya kuasa jika kebijaksanaan dikalahkan oleh kerakusan?

Dalam hal ini, Mansur & Liu tidak hanya menjual nostalgia kegemilangan Melaka. Pementasan ini menggunakan sejarah untuk menyindir masa kini. Nama dan zamannya mungkin berbeza, tetapi tabiat manusia terhadap kuasa masih hampir sama.

Bercerita bukan sekadar menyampaikan maklumat. Bercerita ialah mencipta hubungan emosi.

Sejarah boleh memberitahu kita bahawa pernah wujud hubungan antara Melaka dengan China. Namun cerita membuatkan kita merasakan kerinduan, ketakutan, pengorbanan dan harga yang perlu dibayar di sebalik hubungan tersebut.

Musical Theater Mansur dan Liu stage play 140926

Kekuatan Mansur & Liu terletak pada kebijaksanaannya menggunakan sebuah kisah cinta sebagai pintu masuk kepada persoalan yang jauh lebih besar.

Penonton datang untuk menyaksikan kisah cinta fiksyen, tetapi akhirnya dipertemukan dengan politik, diplomasi, perebutan kuasa dan pergolakan jiwa manusia.

Dari sudut penceritaan, ia mempunyai dunia yang besar. Wataknya ramai, muziknya kaya dan peristiwanya sarat. M Nasir tidak memindahkan sejarah ke pentas secara bulat-bulat. Dia menggunakan ‘lesen seni’ untuk membina sebuah dunia baru daripada serpihan sejarah, imaginasi dan pengalaman kemanusiaan.

Watak Mansur membawa konflik antara cinta, kuasa dan tanggungjawab. Liu pula bukan sekadar objek percintaan, tetapi lambang manusia yang memasuki sebuah dunia asing dengan membawa identiti, emosi dan maruahnya sendiri.

Konflik menjadi lebih menarik apabila musuh sebenar bukan saja berada di luar istana. Musuh juga bersembunyi dalam cita-cita, prasangka, kecemburuan dan kerakusan manusia. Di sinilah cerita mendapat nadinya.

Terngiang-ngiang di telinga

Ada ketika saya ingin melihat konflik dalaman Mansur dan Liu digali dengan lebih dalam. Bukan hanya apa yang mereka lakukan, tetapi apa yang paling mereka takut kehilangan.

Kerana ukuran kekuatan sesebuah cerita bukan sekadar pada apa yang berlaku. Ukurannya terletak pada apa yang dipertaruhkan.

Apakah yang bakal hilang jika Mansur memilih cinta? Apakah yang terkorban jika Liu memilih negara? Apakah harga yang harus dibayar apabila urusan hati bertembung dengan urusan takhta?

Semakin jelas perkara yang dipertaruhkan, semakin kuat penonton terikat secara emosional kepada watak dan perjalanan cerita.

Retorik ialah seni memilih kata, menyusun makna dan menggerakkan jiwa. Di pentas, retorik bukan hanya terletak pada dialog. Ia hadir melalui suara, gerak tubuh, muzik, cahaya, kostum, jarak antara watak, malah dalam keheningan melalui diam.

Bait nyanyian "Raja dah sembuh" cukup terngiang-ngiang di kuping telinga saya.

Mansur & Liu memanfaatkan tiga kekuatan asas retorik. Pertama, ethos, iaitu kewibawaan yang dibina melalui sosok sultan yang bijaksana, kebesaran istana, kehadiran pembesar dan keseluruhan visual kerajaan.

Musical Theater Mansur dan Liu stage play 140926

Sebelum sesuatu hujah diucapkan, pentas terlebih dahulu meyakinkan kita bahawa kita sedang berhadapan dengan sebuah dunia yang memiliki kuasa.

Kedua, pathos, iaitu emosi. Inilah kekuatan terbesar pementasan tersebut. Muzik M Nasir bukan sekadar penghias atau pengisi ruang antara babak. Muzik menjadi bahasa kedua yang menyambungkan perasaan watak dengan jiwa penonton. Ada emosi yang tidak memerlukan penjelasan panjang kerana melodi telah terlebih dahulu menyampaikannya.

Ketiga, logos, iaitu akal dan pertimbangan. Pertembungan antara cinta dengan kepentingan negara, antara diplomasi dengan peperangan, serta antara amanah dengan kerakusan mengajak penonton menilai setiap tindakan dan akibatnya.

Bahasa puitis yang digunakan pula memberikan identiti kepada naskhah. Ia tidak membawa penonton kembali ke zaman Melaka secara harfiah, tetapi mencipta “rasa zaman”, suatu suasana yang menjadikan watak dan dunianya dipercayai.

Retorik yang indah bukanlah bahasa yang paling berbunga, tetapi bahasa yang paling tepat menyentuh sasaran. Kata-kata perlu membantu cerita bergerak, menajamkan konflik dan mendedahkan jiwa watak.

Meninggalkan pertanyaan buat penonton

Jika semuanya mahu menjadi indah, keindahan itu sendiri boleh kehilangan penekanan.

Retorik terbaik selalunya bukan pada dialog yang paling panjang. Kadangkala ia hadir dalam satu ayat pendek, satu pandangan atau satu keheningan yang membiarkan penonton menyempurnakan maknanya sendiri.

Dari sudut propaganda, Mansur & Liu berjaya membina citra sebuah tamadun dan menghidupkan kebanggaan terhadap warisan sejarah.

Dari sudut penceritaan, karya ini mengubah sejarah dan diplomasi menjadi pengalaman manusia yang digerakkan oleh cinta, kuasa, pengorbanan dan pengkhianatan.

Dari sudut retorik, pementasan ini mempertemukan kata, muzik, tubuh, cahaya dan visual untuk membentuk pengalaman emosi yang besar.

Kekuatan sebenar Mansur & Liu bukan kerana ia memberikan jawapan yang lengkap, tetapi kerana ia meninggalkan pertanyaan.

Adakah cinta mampu mengatasi kepentingan kuasa? Adakah diplomasi benar-benar lahir daripada kebijaksanaan, atau sekadar wajah halus kepada percaturan politik? Dan adakah kegemilangan sebuah kerajaan diukur melalui kemegahan istananya, atau melalui keadilan dan amanah manusianya?

Tirai boleh ditutup. Lampu boleh dipadamkan. Para pelakon boleh meninggalkan panggung. Tetapi cerita yang berjaya akan terus hidup dalam ingatan.

Itulah pesona sebenar Mansur & Liu. Kita datang untuk menonton sebuah cerita cinta, tetapi pulang dengan pertanyaan tentang bangsa, kuasa dan manusia.


BUDIMAN MOHD ZOHDI ialah pengasas Makmal Komunikasi AI Budiman.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.