ULASAN | Saya tak melayakkan diri 'dipaksa', Ismail perlu jujur
ULASAN | Saya mengambil maklum kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim, yang cuba mengaitkan kemelut adat dan institusi raja Negeri Sembilan dengan pentadbiran kerajaan terdahulu.
Saya tidak mempunyai masalah untuk dipersoalkan. Sepanjang saya menjadi menteri besar, setiap tindakan dan keputusan boleh dinilai berdasarkan rekod, dokumen serta kronologi yang ada.
Rujukan wahyu dan nubuwwah sudah jelas ada: “Bertanyalah kepada ahlinya jika kamu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu”. Namun apabila kerajaan terdahulu dituduh menjadi punca kepada kemelut ini, rakyat berhak mengetahui dengan tepat apakah kesalahan yang dimaksudkan.
Apakah tindakan yang dikatakan gagal saya lakukan? Apakah peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 yang dikatakan telah dilanggar? Dan bilakah pelanggaran itu dikatakan berlaku?
Jangan sekadar menggunakan istilah “kerajaan terdahulu” sebagai jawapan umum.
Jika ada kesalahan, nyatakan kesalahannya. Jika ada pelanggaran undang-undang, nyatakan peruntukannya. Dalam perkara sebesar ini, rakyat berhak diberikan fakta yang jelas dan boleh diperiksa.
Pada 20 April lalu – ketika saya masih menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan – dokumen proklamasi bertarikh 19 April 2026 dikemukakan kepada saya untuk ditandatangani dengan merujuk kepada proses di bawah Perkara 10 UUTKNS.
Saya membuat keputusan untuk tidak menandatangani dokumen tersebut. Sebagai orang yang berlatarbelakang pengamal guaman, Ismail sudah pasti sangat biasa dengan perkataan “proses”.
Wajar beri ruang pihak berkuasa
Isu yang melibatkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir adalah prosesnya. Adakah lengkap? Atau cacat sejak awal?
Keputusan itu dibuat kerana terdapat persoalan serius mengenai proses yang telah dilalui. Perkara 10 UUTKNS bukan sekadar menyentuh kuasa berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar, tetapi turut menetapkan proses yang perlu dipenuhi, termasuk isu berkaitan suatu siasatan yang penuh dan lengkap.
Pada ketika itu juga terdapat pertikaian mengenai kedudukan salah seorang pihak yang terlibat sebagai Undang Luak Sungei Ujong.
Dalam keadaan terdapat persoalan seperti itu, saya mengambil pendirian berdasarkan nasihat undang-undang yang betul bahawa seorang menteri besar tidak sepatutnya meletakkan tandatangannya pada sebuah dokumen yang mempunyai implikasi begitu besar terhadap institusi raja selagi persoalan mengenai proses dan kesahihannya belum benar-benar jelas.
Ini pendirian saya dan alhamdulillah hari ini pendirian ini kekal. Saya tidak melayakkan diri saya sebagai “dipaksa”.
Selepas saya tidak menandatangani dokumen tersebut, pihak yang sama kemudiannya mendakwa bahawa Ismail – selepas menjadi menteri besar – telah menandatangani dokumen proklamasi berkenaan pada 3 Ogos lalu.
/file/attachments/orphans/IsmailBinLasimdsadsds_907424.png)
Pihak berkenaan turut mendakwa tandatangan tersebut melengkapkan surat cara berkenaan berdasarkan tafsiran mereka terhadap Perkara 10(2) UUTKNS.
Ismail kemudiannya mengakui tandatangan tersebut sebagai tandatangannya tetapi mendakwa beliau menandatangani dokumen tersebut dalam keadaan dipaksa. Dakwaan itu telah dibawa kepada pihak berkuasa dan sewajarnya siasatan diberikan ruang untuk menentukan fakta sebenar tanpa sebarang prejudis.
Namun dari sudut tanggungjawab awam, satu persoalan tetap perlu dijawab. Jika saya ketika menjadi menteri besar boleh membuat keputusan untuk tidak menandatangani dokumen tersebut kerana mempunyai keraguan terhadap prosesnya, bagaimana pula tandatangan menteri besar selepas saya boleh berada pada dokumen yang sama?
Inilah persoalan yang perlu dijelaskan secara terus kepada rakyat.
Perkara 10 UUTKNS perlu dibaca sebagai suatu proses perlembagaan yang mempunyai syarat dan tatacara tertentu.
Antara perkara yang menjadi pertikaian ialah sama ada kehendak berkaitan siasatan yang penuh dan lengkap telah benar-benar dipenuhi sebelum tindakan selanjutnya dibuat atau tidak.
Mesti berasaskan fakta
Pada 17 Sept lalu Jabatan Peguam Negara (AGC) mengambil pendirian bahawa proklamasi bertarikh 19 April tidak sah kerana menurut pandangan mereka, kehendak mandatori perkara 10 tidak dipatuhi.
AGC juga menegaskan bahawa menteri besar dan majlis mesyuarat kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.
Pada masa yang sama, Sekretariat Undang Yang Empat mempertikaikan pendirian tersebut dan mendakwa proses siasatan yang dilaksanakan pada 5 Mac dan 19 April telah memenuhi kehendak Perkara 10 UUTKNS.
Perbezaan tafsiran ini sendiri menunjukkan bahawa isu pematuhan perkara 10 adalah persoalan substantif dan bukannya isu yang boleh dipermudahkan dengan menyalahkan satu pihak sahaja.
Saya berpegang pada pendirian AGC yang lebih berauthoriti.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/12/380ec343c56b61313f0de269fc362673.jpg)
Saya bersedia bertanggungjawab terhadap setiap keputusan yang saya buat semasa menjadi menteri besar. Jika ada keputusan saya yang mahu dipersoalkan, kemukakan dokumen, tarikh dan peruntukan undang-undang yang berkaitan.
Saya akan menjawab berdasarkan rekod.
Namun Ismail juga perlu jujur menjelaskan tindakannya sendiri. Rakyat berhak mengetahui mengapa tandatangannya berada pada dokumen proklamasi tersebut dan apakah keadaan sebenar yang menyebabkan beliau kemudian mendakwa dirinya dipaksa menurunkan tandatangan.
Persoalan itu tidak boleh dijawab dengan hanya menyalahkan kerajaan terdahulu.
Rekod yang diketahui rakyat hari ini adalah mudah. Ketika dokumen itu dikemukakan kepada saya, saya memilih untuk tidak secara rela atau paksa menandatanganinya kerana terdapat persoalan mengenai proses dan kesahihannya.
Apabila dokumen itu kemudiannya ditandatangani oleh Ismail dan beliau selepas itu mendakwa dipaksa, maka rakyat berhak mendapat penjelasan yang lengkap.
Dalam perkara yang melibatkan UUTKNS, Adat Perpatih dan institusi Yang di-Pertuan Besar, penjelasan kepada rakyat mestilah berasaskan fakta, proses dan rekod yang sebenar. Jangan lakukan manipulasi sekadar untuk melepaskan diri dan keterlanjuran.
Tidak rugi menjadi pemimpin yang jujur. Tidak tercela mempertahan kebenaran.
AMINUDDIN HARUN ialah bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan kini Ahli Parlimen Port Dickson.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/attachments/orphans/asdasdasasdasd_912005.png)
