ULASAN | Kenyataan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, bahawa BN tidak lagi bersama kerajaan perpaduan sebaik sahaja parlimen dibubarkan wajar dilihat lebih jauh daripada sekadar pengumuman mengenai kedudukan sebuah parti dalam kerajaan.

Ia memberi petunjuk kepada persoalan yang lebih besar: apakah bentuk koalisi politik yang bakal terbentuk selepas PRU ke-16?

Ahmad Zahid menegaskan bahawa BN kekal dalam kerajaan sehingga Parlimen ke-15 dibubarkan. Dengan pembubaran parlimen, kerjasama tersebut berakhir.

Kenyataan itu perlu dibezakan daripada dakwaan bahawa Umno-BN telah meninggalkan kerajaan ini. Sebaliknya, ia menunjukkan satu sempadan institusi antara mandat politik semasa dengan mandat baru yang akan ditentukan melalui pilihan raya.

Kerajaan perpaduan yang terbentuk selepas PRU ke-15 merupakan kesan parlimen tergantung apabila tiada satu gabungan memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.

BN dengan 30 kerusi akhirnya menjadi sebahagian daripada konfigurasi majoriti yang memungkinkan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim dibentuk.

Namun, koalisi pemerintahan tidak semestinya bermakna berlakunya peleburan identiti parti. Inilah paradoks asas politik koalisi: kerajaan memerlukan kerjasama, tetapi parti politik memerlukan perbezaan.

Parti yang menyertai kerajaan perlu melakukan dua perkara secara serentak. Pertama, menyumbang kepada kestabilan pemerintahan; dan kedua, mengekalkan identiti, pangkalan sokongan dan autonomi organisasi bagi menghadapi pilihan raya berikutnya.

Dalam konteks Malaysia, ketegangan antara kedua-dua tuntutan itu semakin jelas apabila PRU ke-16 menghampiri. Umno perlu melaksanakan tanggungjawab sebagai sebahagian daripada kerajaan, tetapi pada masa yang sama perlu mengekalkan identiti politiknya.

Perubahan demografi pengundi

Hal ini menjelaskan mengapa perbincangan mengenai masa depan kerjasama politik semakin dominan dalam Umno. Persoalan hala tuju dan penjajaran politik menjelang PRU ke-16 bukan lagi sekadar isu hubungan antara pemimpin, tetapi menjadi persoalan strategi organisasi dan identiti parti.

Perlu dibezakan antara kerajaan koalisi (coalition government) dan perundingan gabungan (coalition bargaining). Kerajaan perpaduan ialah konfigurasi pemerintahan yang terbentuk selepas PRU ke-15. Namun, apabila parlimen dibubarkan, logik politik berubah.

Parti-parti kembali berhadapan dengan persoalan asas pilihan raya: berapa kerusi boleh dimenangi, di kawasan mana pertandingan perlu dielakkan, dengan siapa rundingan boleh dilakukan dan bentuk kerjasama apakah yang mampu menghasilkan majoriti selepas PRU.

Di sinilah PRU ke-16 berpotensi menjadi titik penting dalam evolusi politik koalisi Malaysia.

Secara analitik, masa depan koalisi selepas PRU ke-16 boleh difahami melalui sekurang-kurangnya tiga bentuk.

Pertama, kesinambungan koalisi, iaitu sebahagian besar struktur kerjasama sedia ada diteruskan dengan pengubahsuaian tertentu.

Kedua, penjajaran semula, apabila parti-parti menstruktur kembali hubungan berdasarkan keputusan pilihan raya, perubahan demografi pengundi dan kepentingan politik baru.

Ketiga, pemecahan, apabila tiada gabungan prapilihan raya mampu membentuk majoriti dan rundingan selepas pilihan raya kembali menjadi mekanisme utama pembentukan kerajaan.

Ketiga-tiga kemungkinan itu bukanlah ramalan keputusan PRU mendatang, sebaliknya merupakan kerangka untuk memahami bagaimana sistem parti boleh beroperasi apabila pilihan raya tidak menghasilkan dominasi satu gabungan.

Pengalaman PRU lalu menunjukkan bahawa keputusan boleh menghasilkan struktur parlimen yang memerlukan rundingan rentas gabungan. Justeru, persoalan utama selepas PRU ke-16 bukan sekadar siapa memperoleh kerusi terbanyak, tetapi bagaimana kerusi tersebut diterjemahkan kepada majoriti pemerintahan.

Umno berada pada kedudukan penting dalam proses tersebut. Sebagai parti utama dalam BN, Umno mempunyai sejarah panjang sebagai parti dominan dalam politik nasional. Namun, politik selepas PRU ke-14 dan keputusan PRU ke-15 mengubah kedudukan tersebut.

Umno kini berhadapan dengan dilema di antara identiti dan utiliti gabungan.

Struktur kerusi, pola kemenangan

Identiti parti penting untuk mobilisasi penyokong, manakala koalisi pula penting untuk pembentukan majoriti. Terlalu menekankan identiti boleh mengecilkan ruang kerjasama. Sebaliknya, terlalu menekankan kompromi pula berpotensi mengaburkan perbezaan yang menjadi asas identiti parti.

Dalam ilmu politik, dilema itu bukan unik kepada Malaysia. Ia merupakan cabaran lazim bagi parti yang beroperasi dalam sistem pilihan raya yang semakin kompetitif dan berbilang blok.

Menariknya, Ahmad Zahid dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini mengemukakan gagasan “grand collaboration” atau tafahum siyasi. Dia menjelaskan bahawa konsep itu bukan penggabungan parti, sebaliknya suatu bentuk persefahaman bagi mengelakkan pertembungan politik yang dianggap merugikan kestabilan dan pembangunan negara.

Setiap parti, menurut gagasan tersebut, masih boleh mengekalkan identiti dan garis ideologi masing-masing.

Dari perspektif akademik, konsep itu menarik kerana mencadangkan bentuk kerjasama tanpa integrasi organisasi. Dalam erti kata lain, parti tidak perlu bergabung untuk bekerjasama.

Persoalannya ialah sejauh mana parti-parti yang mempunyai perbezaan ideologi mampu berkongsi ruang strategik tanpa mengorbankan identiti masing-masing?

Satu kesilapan dalam menganalisis politik Malaysia ialah menganggap pilihan raya secara automatik menghasilkan struktur “kerajaan” dan “pembangkang”. Sedangkan realitinya lebih kompleks.

Keputusan pilihan raya menentukan komposisi Dewan Rakyat. Komposisi Dewan Rakyat menentukan matematik majoriti. Matematik majoriti membuka ruang rundingan. Rundingan menentukan bentuk kerajaan, manakala bentuk kerajaan menentukan hubungan antara parti sepanjang penggal.

Oleh itu, PRU ke-16 tidak seharusnya dianalisis hanya berdasarkan siapa memenangi paling banyak kerusi. Perhatian juga perlu diberikan kepada struktur kerusi, pola kemenangan mengikut wilayah, tahap fragmentasi parti dan kebolehlaksanaan koalisi selepas keputusan diumumkan.

Dalam sistem yang semakin berbilang gabungan, bilangan kerusi semata-mata tidak mencukupi untuk memahami kuasa politik. Yang lebih penting ialah kemampuan menukar kerusi kepada majoriti pemerintahan.

Dalam konteks ini, kenyataan Ahmad Zahid bahawa BN tidak lagi bersama kerajaan perpaduan selepas pembubaran parlimen boleh dibaca sebagai satu bentuk political reset.

Kerajaan yang terbentuk daripada mandat PRU ke-15 mempunyai tempohnya, manakala PRU ke-16 akan menghasilkan mandat baru. Hubungan antara parti selepas pilihan raya tidak semestinya terikat secara mekanikal kepada hubungan sebelum pilihan raya.

Akhirnya, persoalan paling penting menjelang PRU ke-16 bukan sekadar siapa bersama siapa. Soalan yang lebih akademik ialah apakah prinsip yang akan menentukan pembentukan koalisi selepas pilihan raya.

Adakah ia berdasarkan keserasian ideologi, pembahagian kerusi, kepentingan wilayah, dasar ekonomi, identiti sosial atau semata-mata keperluan memperoleh majoriti di Dewan Rakyat?


AZRIE AZEH ialah setiausaha Pertubuhan Muafakat Terengganu Baru.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.