ULASAN | Ada pertemuan yang singkat pada hitungan waktu, tetapi lama tinggalnya dalam ingatan. Kesannya akan berbekas sampai bila-bila.

Kini, apabila mendapat khabar pemergiannya, ingatan saya kembali kepada malam seminggu yang lalu: kepada keramahan beliau, keceriaan wajahnya dan cerita tentang hari-hari awal kehidupannya di Kedah.

Saya dan isteri berkesempatan bertemu dan berbual panjang dari kebiasaan di kediaman Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali pada waktu malam hari Ahad 20 Sept lalu.

Tidak menyangka bahawa pertemuan dan makan malam bersama selama 90 minit pada malam itu adalah yang terakhir untuk kami dengan beliau sebelum beliau pulang bertemu Yang Maha Pencipta pada jam 9.25 pagi semalam.

Teguran pertama dari Tun Mahathir ialah "lama tak jumpa" yang menyebabkan saya tersipu nak memberi jawapan. Sudah tentu kesempatan bertemu pada malam itu pelbagai perkara dibualkan, bermula di ruang tamu hingga ke meja makan.

Tun Hasmah mula membuka bicara dengan semangatnya yang luar biasa, bercerita mengenai "kesedaran aspek kesihatan dalam kalangan kaum wanita, terutama di desa, yang sebilangan kecil masih mempunyai tabu dalam aspek kesihatan wanita, supaya tidak segan menjaga kesihatan keluarga".

"Saya bersedia untuk turun beri talk mengenai kesedaran kesihatan untuk wanita" adalah ungkapan yang masih terngiang di minda kami kerana ia memberi gambaran semangat juang Tun Hasmah yang tidak pernah pudar untuk bercakap mengenai kesihatan.

Saya masih terkenang wajah Allahyarham yang ceria pada malam itu.

Beliau bercerita dengan penuh mesra tentang pengalamannya menjadi doktor di pedalaman Kedah selepas berkahwin dengan Tun Mahathir.

"Ye lah, kita dari Selangor, bertugas jadi doktor di Kedah, kena pulak belajar loghat Kedah," ujar beliau.

Allahyarham sempat bercerita pengalaman beliau dengan doktor wanita Melayu terawal di Malaysia, iaitu Dr Salmah Mohd Ali, sehingga saya bertanya kaitan dengan beliau kerana nama bapa adalah sama.

Rupanya mereka berdua belajar di Singapura dan merupakan senior Tun Hasmah dalam pengajian, namun tiada kaitan kekeluargaan.

Teringat pula saya apabila lebih setahun lalu semasa di meja makan yang sama, saya pernah bertanya Tun Mahathir di depan Tun Hasmah: "Macam mana Tun mula bertemu Tun Hasmah dulu, jumpa di Singapore ke?"

Panjang pula cerita Tun Mahathir pada ketika itu menceritakan detiknya, seumpama saya sedang menulis autobiografi kedua-dua mereka.

Menyambung cerita, Tun Hasmah juga sambil tergelak menyebut bahawa beliau pernah membonceng motor sebagai doktor perubatan pergi ke kampung di Kedah.

Kenangan yang beliau tidak dapat lupakan ialah terjatuh ke dalam bendang setelah motosikal tidak dapat dikawal akibat jalan bendang yang berlubang pada waktu.

Puji penenun songket yang teliti

Dalam kisah itu tergambar kehidupan seorang wanita yang dekat dengan masyarakat, memahami kesusahan mereka dan menjalankan amanahnya sebagai seorang doktor.

Sepanjang perbualan, terasa betapa luas pengalaman yang tersimpan di sebalik tutur katanya yang sederhana.

Kami datang sebagai tetamu, lalu pulang membawa kenangan yang amat berharga.

Hidangan makan malam yang ringkas tetapi menyelerakan - kacang panjang masak lemak, bilis goreng sambal rangup, daging masak kicap, ayam masak asam pedas, sayur brokoli goreng, nasi putih, bersama air suam.

Tun Mahathir dan Allahyarham Tun Hasmah berturutan bicara menyebut bahawa beliau makan dengan kadar sedikit, dan saya juga menyambut bahawa saya pun hanya makan sedikit dan jarang makan nasi sebelah malam.

Tun Hasmah menyebut: "Saya mata (dah) tak nampak, makanan nampak kabur, tapi usahakan untuk makan juga".

Beliau terus bercerita mengenai waktu menikmati makan pagi bersama Tun Mahathir kebelakangan ini di beranda terbuka di tingkat atas rumah, seekor burung liar (common myna - burung gembala kerbau) yang sama turut datang makan pagi di meja makan, dan beberapa insiden yang berlaku ketika itu yang menyebabkan kami semua tergelak.

Sisi lain Tun Hasmah yang mengusik Tun Mahathir pada malam itu terserlah apabila beliau menjawab pertanyaan saya mengenai menikmati makan pagi di restoran di luar.

Dengan penuh bertenaga beliau menyebut "Susah juga Dato' kalau makan di luar sana, ramai sangat orang nak selfie dan bergambar dengan dia (sambil memaling wajah beliau kepada Tun Mahathir yang sedang menikmati juadah)."

Beliau terus menyebut: "Ramai nak bergambar, yang muda-muda pula tu..." - menyebabkan kami semua tergelak besar.

Pernah pada kesempatan yang lalu, Tun Hasmah bercerita mengenai tragedi pembantu rumah lama beliau yang tersalah memasukkan kain songket peninggalan ayahandanya yang berusia puluhan tahun ke dalam mesin basuh sehingga rosak teruk.

Ketelitian beliau terhadap tradisi dan warisan silam ini membawa Tun Hasmah bersusah payah mencari keluarga tukang tenun songket asal berkenaan dari Terengganu yang masih bertenun, sehingga menghasilkan tenunan baru yang hampir sama (kecuali kain dan benang yang agak berbeza).

Di sini beliau berterusan memuji penenun songket yang sangat teliti untuk menghasilkan tenunan yang terbaik.

Beberapa kali, Allahyarham dan Tun Mahathir berpesan kepada kami untuk selalu datang ke rumah, kerana bicara di rumah adalah lebih dekat berbanding di pejabat atau di tempat awam.

Bagi saya dan isteri, pertemuan itu akan sentiasa menjadi kenangan yang kami syukuri.

Saya merakamkan ucapan takziah yang tulus kepada Tun Dr Mahathir serta seluruh keluarga. Semoga Allah SWT mengampuni Allahyarham Tun Dr Hasmah menerima segala amal kebajikannya dan menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beroleh rahmat.


AHMAD SAMSURI MOKHTAR merupakan Pengerusi PN, Menteri Besar Terengganu, Naib Presiden PAS, Ahli Parlimen Kemaman dan Adun Rhu Rendang.

Tulisan ini diambil dari hantaran Ahmad Samsuri di media sosial.

Pandangan yang dikemukakan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.