ULASAN | Semalam saya menonton siaran langsung pembentangan Belanjawan 2027. Nama warga emas disebut. Nama orang kurang upaya (OKU) turut disebut.

Sebagai seseorang yang berada dalam kedua-dua golongan itu, saya menunggu dengan sabar. Bukan sekadar untuk mendengar janji, tetapi untuk melihat jika angka yang diumumkan benar-benar mampu mengubah kehidupan kami.

Menjelang akhir ucapan, dua angka besar diumumkan: RM1.3 bilion untuk warga emas dan RM1.5 bilion untuk OKU.

Persoalannya, adakah peruntukan berjumlah RM2.8 bilion itu cukup untuk mengubah nasib kami, atau sekadar memastikan kami tidak dilupakan untuk setahun lagi?

Rencana ini tidak bermula dengan kemarahan. Ia bermula dengan fakta, disusuli penilaian, sebelum diakhiri dengan soalan yang saya serahkan kepada pembaca untuk dijawab.

Angka yang digunakan berdasarkan laporan media pada hari pembentangan, sementara perincian rasmi masih perlu diteliti.

Bagi warga emas, kerajaan menaikkan peruntukan Bantuan Warga Emas kepada RM1.3 bilion berbanding RM1.26 bilion sebelum ini. Jumlah penerima dijangka meningkat daripada 180,000 kepada hampir 200,000 orang.

Kerajaan juga akan menggubal Rang Undang-Undang Warga Emas yang antara lain bertujuan menangani pengabaian ibu bapa.

Mulai 1 Jan depan, cukai perkhidmatan bagi penjagaan warga emas akan dikurangkan daripada lapan peratus kepada enam peratus, manakala yuran sehingga RM96,000 setahun dikecualikan sepenuhnya daripada cukai.

Siapa yang bakal merasa

Selain itu, seramai 8,000 penjaga akan dilatih menerusi peruntukan lebih RM40 juta kepada HRD Corp. Pulau Pinang dan Sarawak juga masing-masing bakal menerima sebuah pusat kepakaran penjagaan bersepadu.

Bagi OKU, peruntukan meningkat kepada RM1.5 bilion dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 300,000 orang.

Keluarga yang menjaga OKU terlantar atau pesakit kronik pula akan menerima bantuan RM600 sebulan, iaitu peningkatan RM100 berbanding sebelumnya.

Had pendapatan bagi kelayakan Elaun Pekerja OKU (EPOKU) dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000. Sementara itu, seramai 150,000 murid berkeperluan pendidikan khas akan menerima bantuan RM200 sebulan berbanding RM150 sebelum ini.

Kerajaan turut merancang melatih 3,000 penjaga OKU baru.

Semua langkah itu wajar dicatat. Namun, angka semata-mata bukanlah segala-galanya. Persoalannya ialah siapa yang benar-benar akan merasai manfaat daripada semua inisiatif yang dirangka.

Mengkritik secara berhemah tidak bermakna menafikan kebaikan. Dalam belanjawan kali ini, tetap ada beberapa langkah yang wajar dihargai.

Bantuan kewangan bukan perkara kecil bagi keluarga yang setiap bulan bergelut menampung kos penjagaan. Setiap ringgit yang diterima dapat mengurangkan sedikit beban masing-masing.

Pada pandangan saya, langkah paling bermakna ialah cadangan menggubal Rang Undang-Undang Warga Emas. Undang-undang berpotensi melakukan sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh wang semata-mata, iaitu menjadikan pengabaian ibu bapa sebagai perkara yang perlu ditangani secara serius.

Wang boleh diberikan, tetapi ia tidak boleh memaksa seorang anak pulang menjenguk ibu bapa mereka.

Kek besar, jumlah bertambah

Begitu juga dengan latihan untuk penjaga. Usaha melatih 8,000 penjaga warga emas dan 3,000 penjaga OKU menunjukkan pengiktirafan bahawa kerja penjagaan bukan sekadar tanggungjawab keluarga, tetapi juga satu bidang yang memerlukan kemahiran dan penghargaan.

Kenaikan bantuan kepada penjaga OKU terlantar dan murid berkeperluan pendidikan khas mungkin tidak besar. Namun, bagi keluarga yang hidup dalam serba kekurangan, tambahan itu tetap bermakna.

Selepas mengiktiraf perkara yang positif, ruang untuk kritikan tetap ada. Malah, kritikan itu sebahagian daripada tanggungjawab kita.

Pertama, peruntukan naik, tetapi kadar bantuan tidak.

Peruntukan Bantuan Warga Emas meningkat kira-kira tiga peratus, sedangkan jumlah penerima dijangka bertambah sekitar 11 peratus.

Itu bermakna lebih ramai orang perlu diliputi oleh peruntukan yang meningkat pada kadar lebih rendah. Setakat maklumat yang diumumkan, tiada kenaikan kadar bayaran bulanan dinyatakan.

Bayangkan sebuah kek yang sedikit lebih besar untuk dikongsi dengan sejumlah orang yang lenbih ramai berbanding sebelumnya. Akhirnya, bahagian setiap orang belum tentu bertambah.

Kedua, jangkauan bantuan masih terlalu sempit.

Bank Dunia pernah mencatatkan bahawa hanya sekitar empat peratus rakyat Malaysia berusia 60 tahun ke atas menerima pencen sosial tanpa caruman.

Selebihnya bergantung kepada simpanan sendiri, bantuan keluarga atau keadaan masing-masing.

Ramai warga emas terperangkap dalam zon kelabu: pendapatan atau aset mereka terlalu tinggi untuk melayakkan diri menerima bantuan, tetapi tidak cukup untuk membolehkan mereka menjalani persaraan dengan tenang.

Ketiga, had kelayakan yang sekadar mengejar gaji minimum.

Had pendapatan EPOKU sebanyak RM2,000 kelihatan seperti satu peningkatan. Namun, jika gaji minimum juga mencapai RM2,000 pada Jun tahun depan seperti yang dinyatakan dalam unjuran berkaitan, had kelayakan itu berisiko tidak lagi mencerminkan keperluan sebenar pekerja OKU.

Tanpa semakan berkala, pekerja OKU yang menerima gaji minimum mungkin terkeluar daripada skim yang sepatutnya membantu mereka.

Keempat, pelepasan cukai yang tidak dinikmati semua golongan.

Pelepasan cukai bagi perkhidmatan penjagaan lebih bermanfaat kepada keluarga yang mampu menghantar ibu bapa ke pusat jagaan berbayar.

Bagi warga emas miskin, khususnya di luar bandar yang tidak mampu menanggung kos sedemikian, insentif itu mungkin tidak membawa sebarang manfaat langsung.

Tak mahu bergantung saja

Di sebalik semua angka itu, ada satu persoalan yang lebih besar daripada mana-mana peruntukan: adakah OKU dan warga emas menerima bantuan atas dasar belas kasihan, atau kerana mereka memang berhak mendapatkannya?

Jawapan kepada persoalan ini menentukan cara kita menilai belanjawan.

Selagi bantuan dianggap sebagai ihsan, kejayaan sesebuah belanjawan akan diukur berdasarkan jumlah wang yang diberikan. Namun, jika bantuan dianggap sebagai hak, ukurannya berubah – sejauh mana kehidupan penerima bertambah baik dan berapa ramai yang mampu berdikari.

Ada tiga tonggak yang perlu bergerak seiring, iaitu kebajikan, pemerkasaan dan hak.

Kebajikan memastikan keperluan asas dipenuhi. Pemerkasaan membuka peluang pekerjaan dan menjana pendapatan. Hak pula memastikan peluang itu tidak dinafikan hanya kerana seseorang sudah tua atau mempunyai ketidakupayaan.

Belanjawan 2027 memberikan perhatian kepada kebajikan, menyentuh soal pemerkasaan, tetapi belum memberikan penekanan yang setara terhadap hak.

Ambil contoh pekerja OKU. Apa yang mereka mahukan bukanlah bergantung pada elaun sepanjang hayat, tetapi peluang mendapatkan gaji yang setimpal, kenaikan pangkat dan modal untuk memulakan perniagaan.

Semua itu sukar dicapai tanpa pengangkutan awam dan bangunan yang benar-benar mesra OKU, selain undang-undang berkaitan hak mereka yang berkesan dan boleh dikuatkuasakan.

Namun, kedua-dua perkara itu tidak mendapat perhatian ketara dalam laporan belanjawan kali ini.

Bagi mereka yang tidak mampu bekerja dan memerlukan penjagaan sepanjang hayat, negara pula tidak boleh berundur. Perlindungan mesti diteruskan tanpa mengira keadaan ekonomi.

Perbandingan antara negara

Ada juga persoalan lebih besar yang jarang dibincangkan. Urusan kebajikan dan pemerkasaan warga emas serta OKU terlalu luas untuk diletakkan di bawah tanggungjawab satu kementerian sahaja.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak mempunyai kawalan langsung terhadap pasaran kerja, sekolah, hospital, pengangkutan awam atau perumahan.

Justeru, setiap kementerian yang mengendalikan bidang berkenaan wajar diberikan sasaran khusus berkaitan OKU dan warga emas, selain peruntukan serta laporan kemajuan.

Kejayaan pula tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah wang yang dibelanjakan semata-mata, tetapi juga melalui bilangan OKU yang mendapat pekerjaan, melanjutkan pendidikan dan bergerak secara bebas.

Kadangkala, cara terbaik menilai dasar sendiri adalah dengan melihat pendekatan negara jiran.

Di Thailand, warga emas menerima elaun bulanan bermula 600 baht, dengan kadar meningkat secara berperingkat sehingga 1,000 baht bagi mereka yang berusia 90 tahun ke atas.

Di Brunei, pencen umur tua sebanyak B$250 sebulan diberikan kepada warga yang layak bermula usia 60 tahun. Pencen hilang upaya juga disediakan dengan kadar yang sama.

Singapura pula menggunakan pendekatan bantuan bersasar seperti Malaysia. Negara itu turut menyediakan skim Silver Support untuk warga emas berpendapatan rendah serta mempunyai usaha khusus bagi menyokong keluarga yang menjaga OKU.

Perbandingan ini menunjukkan bahawa setiap negara memilih pendekatan berbeza dalam menyeimbangkan keluasan perlindungan dengan kemampuan kewangan.

Elaun Thailand mungkin lebih kecil dari segi nilai, tetapi memiliki kelebihan dari segi jangkauan yang lebih meluas. Bantuan RM600 sebulan di Malaysia pula lebih besar daripada segi jumlah, tetapi hanya dinikmati oleh mereka yang memenuhi syarat kelayakan.

Satu pendekatan menekankan jaminan yang lebih menyeluruh, manakala satu lagi memberi bantuan lebih besar kepada kumpulan tertentu.

Persoalannya bukan semata-mata berapa banyak yang diberikan, tetapi sejauh mana sistem itu memastikan tiada warga emas atau OKU tercicir daripada perlindungan yang diperlukan.

Tidak adil untuk menulis seolah-olah kerajaan mempunyai wang tanpa had. Sasaran defisit fiskal bagi 2027 ialah 3.3 peratus daripada KDNK berbanding anggaran 3.6 peratus sebelumnya.

Pada masa sama, pelaksanaan pencen sejagat untuk semua warga emas akan memerlukan perbelanjaan berbilion ringgit setiap tahun. Hujah bahawa bantuan perlu disasarkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan juga mempunyai asas.

Namun, terdapat perbezaan antara kekangan kewangan dengan kekangan keazaman.

Mengiktiraf hak, menetapkan sasaran khusus untuk setiap kementerian dan mengukur keberkesanan dasar bukanlah langkah yang semestinya memerlukan peruntukan besar. Sebaliknya, ia memerlukan kemahuan politik dan komitmen untuk melaksanakannya.

Masa juga semakin suntuk. Menjelang 2030, kira-kira 15 peratus penduduk Malaysia dijangka berusia 60 tahun ke atas.

Penuaan penduduk bukan lagi isu yang boleh ditangguhkan. Dasar yang dirangka hari ini akan menentukan sama ada negara bersedia menghadapi perubahan demografi itu atau terpaksa bertindak selepas masalah menjadi lebih besar.

Pada hemat saya, Belanjawan 2027 menambah bantuan, tetapi belum mengubah kedudukan warga emas dan OKU dalam masyarakat secara menyeluruh.

Ia satu langkah ke hadapan, tetapi masih banyak yang perlu dilakukan.

Pembaca yang tidak bersetuju dengan pandangan saya boleh menilai belanjawan ini berdasarkan tiga ukuran: berapa ramai yang mendapat perlindungan, sama ada jumlah bantuan mencukupi untuk menampung kehidupan atau tidak, dan jika penerima semakin berdikari dari tahun ke tahun.

Akhir sekali, ada satu soalan yang ingin saya tinggalkan untuk direnungkan bersama.

Apabila tiba giliran anda menjadi tua atau kehilangan upaya, adakah anda mahu bergantung pada ihsan yang diberikan menerusi belanjawan tahunan, atau pada hak yang dijamin oleh undang-undang?


MOHD FUDZAIL MOHD NOR seorang OKU, penulis dan pemenang anugerah sastera.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.