Produk benih kelapa sawit DxP Seed yang dibangunkan FELCRA Berhad boleh mula mengeluarkan hasil seawal 26 bulan selepas ditanam, sekali gus memendekkan tempoh menunggu untuk tuaian pertama. 

Bagi peserta FELCRA, tempoh tuaian yang lebih singkat itu berpotensi mempercepatkan pengeluaran hasil kelapa sawit selepas proses tanam semula. 

Pengerusinya, Dato’ Sri Ahmad Jazlan Yaakub berkata, benih berkenaan dibangunkan di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan milik FELCRA Berhad melalui ujian projek rintis sebelum diperluaskan untuk program penanaman semula. 

Menurut beliau, pembangunan DxP Seed bukan usaha baharu kerana FELCRA sudah lama menjalankan kajian dan penyelidikan (R&D) untuk program biak baka  benih itu selain mengambil panduan daripada kajian dan kepakaran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Pengerusi FELCRA Berhad, Dato Seri Ahmad Jazlan Yaakub ketika ditemubual Malaysiakini di World Trade Centre baru-baru ini


“R&D ini dah lama dimulakan serta benih DxP yang kita keluarkan ini sebenarnya sudah pun kita buat ujian projek rintis dan ternyata hasilnya adalah lebih baik. Kita dah cuba dalam tanah seluas lima hektar  dulu. Apabila ia berjaya barulah kita gunakan untuk program-program tanam semula yang kita buat pada hari ini. Bagi kita, lebih cepat hasil dapat dituai, lebih baik untuk industri ini,” katanya.

Ahmad Jazlan berkata, pembangunan benih sendiri merupakan antara usaha FELCRA untuk meningkatkan hasil dari ladang sedia ada, khususnya ketika mendapatkan kawasan tanah baharu semakin mencabar.

Menurutnya, langkah itu juga sebahagian daripada usaha FELCRA untuk mencari pendekatan baru bagi memaksimumkan potensi ladang sawit yang diuruskan.

“Kita tidak hanya duduk berdiam diri menerima apa yang disediakan oleh pihak lain. Ladang sawit kita yang berjumlah 198,000 hektar ini bukan kecil dan kita mahu maksimumkan dalam tempoh yang segera untuk memberi pulangan sama ada kepada peserta ataupun bahagian komersial,” katanya.

Pusat Penyelidikan dan Pembangunan FELCRA Berhad, Nasaruddin, Bota, Perak


Pemilihan benih berkualiti penting jamin hasil sawit jangka panjang

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)  FELCRA Berhad, Dato’ Mohamed Ismi Abdul Majid berkata, kelebihan FELCRA Berhad DxP Seed bukan sahaja terletak pada tempoh pengeluaran hasil yang lebih singkat, tetapi turut membabitkan peningkatan hasil bagi setiap hektar.

Jelas beliau, ujian projek rintis yang dijalankan FELCRA menunjukkan hasil yang sebelum ini sekitar 17 hingga 18 tan sehektar pada tahun pertama boleh meningkat kepada 25 hingga 28.93 tan sehektar pada tahun keempat menggunakan DxP Seed.

“Kualiti benih penting kerana pokok kelapa sawit mempunyai tempoh hayat produktif yang panjang, menyebabkan pemilihan benih pada peringkat awal memberi kesan kepada hasil untuk tempoh bertahun-tahun. Benih ini memang terbukti, ia juga mencapai piawaian pensijilan SIRIM MS 157:2017. Untuk mencapai peningkatan hasil itu, tentulah ia memerlukan benih yang berkualiti,” katanya.

Bagi perancangan jangka panjang, Ismi berkata, FELCRA melihat potensi FELCRA Berhad DxP Seed untuk dipasarkan kepada pihak luar, namun tumpuan awal adalah memastikan bekalan mencukupi untuk projek dalaman FELCRA  dan peserta.

CEO FELCRA Dato Mohamed Ismi Abdul Majid menjelaskan benih FELCRA Berhad DxP Seed mencapai piawaian SIRIM MS 157:2017


Menurut beliau, pemasaran kepada syarikat luar akan dipertimbangkan sekiranya terdapat lebihan pengeluaran selepas keperluan projek FELCRA dipenuhi.

“Buat masa ini kita tumpukan projek kita terlebih dahulu. Melainkan kalau ada pengeluaran lebih, barulah kita dapat keluarkan kepada pasaran. Ke arah itu memang ada,” katanya.

Jenama FELCRA Berhad DxP Seed kini berdaftar sebagai cap dagangan MyIPO 


FELCRA Berhad DxP Seed terhasil daripada kacukan terkawal antara induk betina Dura (D) dan induk jantan Pisifera (P) yang menghasilkan benih Tenera dengan ciri genetik dan prestasi yang dipilih secara khusus. Penghasilan benih ini bukan proses jangka pendek, sebaliknya melalui penyelidikan dan pemilihan induk yang mengambil masa kira-kira 15 tahun, bermula sejak 2010.

Timbalan Pengarah  Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan FELCRA,  Sari Indra Saputra Mohd Arbain menjelaskan, setiap pokok induk dinilai berdasarkan pelbagai parameter prestasi dan analisa tandan serta komposisi minyak sebelum dipilih untuk program pembiakan. 

Salah satu proses kawalan kulat di dalam pengeluaran biji cambah FELCRA Berhad DxP Seed


Kata beliau, antara ciri utama yang dinilai ialah hasil buah tandan segar (FFB), Oil to Bunch (O/B), Mesocarp to Fruit (M/F), Shell to Fruit (S/F) dan Oil to Dry Mesocarp (ODM).

“Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai data dikumpulkan bagi mengenal pasti pokok induk yang mempunyai prestasi terbaik. Data yang diperoleh kemudiannya dianalisis bagi menentukan pokok yang memenuhi kriteria khusus untuk dijadikan induk terpilih,” katanya.

FELCRA Berhad DxP Seed turut didaftarkan sebagai cap dagangan dengan MyIPO pada 8 Januari 2025, sekali gus memberikan perlindungan terhadap nama dan identiti komersial produk berkenaan.

Menurut Indra, pendaftaran itu juga mencerminkan perkembangan hasil penyelidikan FELCRA daripada peringkat R&D kepada produk komersial yang mempunyai jenama tersendiri.

Pendebungaan Dura-Pisifera dilakukan secara terkawal

Menurut seorang lagi Pengurus Kanan R&D FELCRA, proses pendebungaan terkawal bermula dengan pemilihan pokok induk Dura berdasarkan lima ciri yang ditetapkan dalam standard SIRIM MS 157:2017.

Mohd Amirulhakim Shaari berkata, pokok yang memenuhi kriteria tersebut kemudiannya dipilih untuk melalui proses pendebungaan terkawal.

“Tandan bunga yang sesuai, iaitu sekitar 80 hingga 90 peratus terbuka seludangnya, akan dikenal pasti sebelum dibeg bagi mengelakkan pendebungaan luar. Selepas lima hingga tujuh hari, bunga betina yang sesuai akan didebungakan secara manual menggunakan debunga daripada sumber yang dikenal pasti. Kaedah ini berbeza daripada pendebungaan konvensional yang menggunakan kumbang kerana setiap kacukan perlu dikawal bagi memastikan sumber debunga diketahui,” katanya.

Biji segar sawit dalam proses percambahan dan pemilihan secara berulang sehingga 45 hari


Tambah beliau, selepas lima hingga enam bulan, tandan akan dituai dan dibawa ke makmal untuk diproses menjadi biji benih. 

“Proses seterusnya mengambil masa sekitar dua hingga tiga bulan sebelum benih sedia untuk dijual,” katanya.

Benih berkualiti jadi kunci tingkatkan prestasi ladang

Peserta FELCRA, Dato Sabari Misran yang kini hampir 50 tahun bersama agensi, menyifatkan program tanam semula banyak membantu meningkatkan pendapatan


Hampir lima dekad menyertai FELCRA, seorang peserta yakin penggunaan benih kelapa sawit DxP Seed yang baharu mampu memberi manfaat kepada generasi kedua dan ketiga yang bakal mewarisi tanah yang diusahakan peserta.

Dato Sabari Misran berkata, beliau menyokong langkah FELCRA menghasilkan baka benih sendiri yang turut membantu memberi manfaat besar kepada semua peserta agensi itu di seluruh negara.

“Saya menyertai FELCRA ketika berusia 20 tahun dan kini sudah hampir 50 tahun bersama FELCRA sebagai peserta. Sepanjang tempoh itu, saya melihat FELCRA banyak membantu peserta meningkatkan pendapatan melalui aktiviti tanam semula hingga berhasil menikmati dividen tiga kali setahun.

“Justeru, apabila FELCRA berjaya dengan penyelidikan yang panjang dan juga memenuhi piawaian untuk menghasilkan benih sawit DxP Seed, pada saya, ia adalah satu langkah yang amat baik kerana hasilnya memang sangat membantu peserta-peserta, terutamanya generasi yang akan datang.

“Bagi kami peserta, yang penting ialah benih itu berkualiti dan boleh membantu ladang menghasilkan dengan lebih baik. Jika FELCRA mempunyai keupayaan sendiri seperti ini, saya rasa ia juga menunjukkan agensi sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan prestasi