Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
EPL: Chelsea, MU bagai guruh tak menurunkan hujan

Kawan lama saya pernah 'berfatwa' bahawa, untuk mendapatkan keadilan kawasan rata seluas kira-kira 7,140 meter persegi itu bukanlah tempatnya.

Padang bola sepak adalah tempat untuk seseorang mempamerkan kemahiran masing-masing, daripada pemain, pengadil, pengurus atau jurulatih hinggalah pegawai sokongan. Dan kemahiran itu pula termasuklah kebolehan mereka bermain wayang.

Memasuki minggu ketika Liga Perdana Inggeris, dapat dilihat setakat ini, kadang-kadang peminat mudah tersilap meletak harapan pada kelab masing-masing.

Kedudukan semasa menunjukkan tempat teratas liga diduduki Manchester City yang memenangi semua tiga perlawanan diikuti Leicester City di tempat kedua dan kelab 'Syaitan Merah' di posisi ketiga dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan sekali seri.

Kononnya kelab elit, Manchester United (MU) sebenarnya lebih gah dengan nama yang dibina daripada kenangan silam.

Memanglah MU boleh berkata mereka bukan satu-satunya kelab yang suka bernostalgia. Ada sebuah kelab lain lain - kebetulan berwarna merah juga - lebih tegar berpaut pada kenangan silam demi untuk mengabsahkan 'kehebatan' mereka.

Gaal atau gagal?

Namun untuk kali ini biar kita bercerita tentang "merah" yang di Old Trafford.

Setakat ini nampaknya zaman kehebatan mereka berakhir sebaik saja Alex Ferguson melepaskan cengkamannya selama lebih kurang 27 tahun. Ferguson berundur daripada tugas Pengurus MU pada 2013.

Kini dibimbing lelaki Belanda, Loius van Gaal pada musim lalu pernah ditertawa rakan-rakan kerana kurang meyakinkan membimbing kelabnya. Justeru nama van Gaal dimomokkan menjadi van Gagal.

Lihat saja perlawanan kelmarin. Melawan kelab yang hampir tersingkir ke liga bawahan pada musim lalu pun van Gaal gagal mencuri tiga mata penuh.

Maka tidak hairanlah jika legenda kelab itu sendiri mempertikaikan van Gaal.

Pada pengamatan Paul Scholes, tiada apa menakjubkan ditunjuk anak didik van Gaal pada perlawanan menentang Newcastle walaupun mereka bertarung di gelanggang sendiri.

"Penjaga gol Newcastle hanya membuat beberapa tepisan sahaja. Adakah itu hebat? Tidak bagi saya," katanya seperti dilaporkan BT Sport .

Menang hambar

Biasalah - van Gaal dalam kenyataan kepada media selepas perlawanan itu berkata, barisan pemainnya telah menunjukkan aksi hebat dan menakjubkan.

Malam tadi Chelsea pula beraksi hambar. Memang ada lima gol secara keseluruhan dijaringkan. Bagi peminat yang biasa, perlawanan itu cukup menghiburkan kerana ada banyak gol dijaringkan.

Namun The Special One itu nampaknya bukanlah terlalu special . Jika anda pemuja skuad kebangsaan England pula, keputusan di The Hawthorns sepatutnya menyedihkan.

Sukar juga untuk diterima bahawa bekas juara EPL musim lalu itu terpaksa bergantung kepada pemain Sepanyol (Pedro, Diego Costa dan Cesar Azpilicueta) untuk mendapatkan tiga mata.

Pada masa sama di pihak West Bromwich Albion, pemain kebangsaan England, James Morrison berjaya merobek keegoan The Blues dua kali.

Dari seri maruah bola sepak England, West Brom jauh boleh lebih berbangga berbanding The Blues .

Skuad Jose Mourinho itu juga boleh diucapkan "padan muka" apabila pemain pertahan - dan ketua pasukannya - John Terry dibuang padang.

Sesungguhnya masa Terry sudah berakhir dan dia wajar mengikut jejak langkah Steven Gerrard mencari makan di negara lain seperti Turki, China atau Jepun.

Malam ini (awal pagi esok) dua pasukan lagi akan bersaing sesama sendiri. Di situ kita boleh mengharapkan kualiti bola sepak sebenar dapat disaksikan, terutama kepada anda yang menanti-nanti gerakan cantik di depan pintu gol.

Anda pasti tahu pasukan mana yang saya maksudkan.


WIRA KELANA adalah bekas pemain bola sepak pada zaman sekolah menengah tetapi terpaksa melupakan cita-citanya akibat kecederaan pada buku lali. Beliau kini bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat swasta.

Lihat Komen
ADS