Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan hasrat Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk melepaskan jawatan sebagai satu tindakan bertanggungjawab.
Menurut beliau, perkara itu menunjukkan Tengku Abdullah memahami prinsip kebertanggungjawaban dan perlu digalas oleh seluruh barisan pimpinan FAM.
"Saya harap semua dalam FAM tunjuk kebertanggungjawaban yang sama, tak boleh salahkan seorang sahaja.
"Ramai juga dalam barisan kepimpinan yang ada dalam FAM sekian lama yang saya lihat tak bawa nilai tambah ke pada pembangunan bola sepak," kata Khairy.
Sehubungan itu tegas beliau, mereka diharap tidak bersembunyi di belakang keputusan presiden dan perlu tampil ambil tanggungjawab atas peranan sendiri.
Tak membantu menyelamat
Tengku Abdullah semalam menyatakan kesediaan beliau untuk berundur daripada jawatan sebagai presiden FAM, namun secara berperingkat.
Ditanya sekiranya golongan yang dimaksudkan itu "tidak sedar diri" kata Khairy, itu terpulang kepada mereka dahulu.
"Tanpa mana-mana pihak termasuk saya sendiri terpaksa ambil tindakan drastik, saya harap mereka sedar secara sendiri," katanya.
Sementara itu, beliau berkata rombakan keseluruhan FAM dilihat perlu berdasarkan situasi sekarang.
Bagaimanapun, perkara itu dilihat tidak membantu menyelamatkan bola sepak negara.
"Saya tidak fikir begitu, jika tidak kita tak buat program seperti NFDP (Program Pembangunan Bola Sepak Negara).
"Tidak banyak perkara boleh diperbaiki sekarang, tetapi saya tak fikir mereka boleh tewas dengan 10 gol kepada UAE.
"Saya tak fikir pasukan kita boleh layak ke piala dunia, tetapi kalau tak layak sekalipun mereka tidak sepatutnya tewas seteruk itu," kata beliau.
