Piala Sultan Selangor edisi 2015 batal

       

Acara tahunan bola sepak Piala Sultan Selangor yang sepatutnya berlangsung di Stadium Shah Alam malam ini dibatalkan apabila keadaan jerebu yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat sejak jam 3 petang ini.

Pengerusi penganjur Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abdul Karim Munisar berkata, pembatalan itu disebabkan kebimbangan Sultan Selangor, Tuanku Salahuddin Abdul Aziz Shah terhadap kesihatan para pemain dan peminat.

"Satu pengumuman akan dibuat tidak lama lagi mengenai bayaran balik tiket," katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Mengikut jadual asal Piala Sultan Selangor edisi ke-14 itu akan mempertemukan perlawanan antara pasukan Veteran Selangor dan Veteran Singapura serta pasukan Pilihan Selangor dan Pilihan Singapura.

Perlawanan itu adalah kesinambungan perlawanan persahabatan antara pasukan bola sepak Selangor dan Singapura yang diperkenalkan sejak 2002.

Penganjurannya bertujuan untuk menggamit nostalgia dua musuh tradisi yang saling bersaing di liga Malaysia suatu ketika dulu sebelum Singapura mengundurkan diri.

Pada saingan pertandingan sebelum itu, Singapura adalah pencabar utama kepada pasukan Selangor dan melalui Piala Sultan Selangor itu kedua-dua pasukan dipertemukan setiap tahun.

Sementara itu, semakan IPU di laman web Jabatan Alam Sekitar menunjukkan kadar IPU di Shah Alam pada jam 4 petang tadi menyaksikan bacaan 137.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.