Dalam bahagian pertama temubual Malaysiakini bersama Zaki Sadri pada 9 November lalu, beliau bercerita tentang masalah dihadapi atlet olahraga yang kini tidak lagi sesuai berjuang dengan hanya mengharapkan 'makan pingat' semata-mata .
Keadaan itu menyebabkan kesatuan olahraga sukar mencari bakat baru dalam bidang berkenaan.
Bahagian kedua temubual itu yang disiarkan semalam pula menjelaskan bagaimana persatuan olahraga perlu menjalani transformasi bagi membolehkan atlet kebangsaan berkualiti dilahirkan.
"Atlet kita tidak boleh sekadar cari makan ketika waktu kejohanan saja. Mereka perlukan perbelanjaan untuk hidup, lebih-lebih di zaman sekarang," kata bekas atlet lompat jauh itu.
Hari ini ikuti bahagian terakhir siri temubual berkenaan:
Kata Zaki, dunia sukan boleh diibaratkan seperti dunia sukan seperti bidang perniagaan yang perlu dikembangkan ke arah kemajuan dan berdaya saing tetapi perlu mengikut arus semasa.
"Antara masalah yang saya pernah hadapi, ada pihak yang mempunyai dana tetapi tiada kepakaran untuk mengembangkan atlet mereka. Contohnya, Terengganu suatu ketika dahulu.
"Kemudian saya mengambil tanggungjawab dengan merangka pelbagai program bersama jurulatih sedia ada dan akhirnya kami mencapai sasaran," katanya.
Menurut Zaki, 49, untuk mencungkil bakat baru ia perlu dijalankan secara berterusan serta tersusun dari aspek latihan dan kemudahan sebelum atlet terbabit dapat melangkah ke peringkat lebih tinggi.
"Begitu juga di peringkat badan-badan sukan, kelab dan persatuan. Ada yang dapat dana, tapi hanya bising setiap kali ada pemilihan jawatankuasa tertinggi, kemudian berebut jawatan. Akhirnya, atlet entah ke mana, jurulatih pula sibuk cari alasan dan matlamat gagal dicapai," jelasnya.
Kalau gagal macam mana?
Tambah beliau, mereka yang memegang jawatan dalam persatuan sukan - termasuk kesatuan olahraga perlu - meninggalkan kedudukan mereka sekiranya sekadar mahu 'makan angin' dengan kuasa yang ada.
"Memang ada macam itu. Dengan jawatan dipegang mereka bangga boleh pergi luar negara ke sana ke sini. Saya gelak sajalah, apa nak hairan kita yang tak ada jawatan pun boleh pergi merata.
"Tapi itulah realiti, terhimpit antara komitmen sebagai pegawai dan kepentingan peribadi sehingga hilang matlamat," katanya.
Zaki menjelaskan, kelantangannya menegur pihak berkenaan bukan dibuat tanpa alasan, sebaliknya dianggap suatu keperluan ketika ini.
Dia kemudian memberi contoh bagaimana sebuah negara berkembang melalui kewujudan parti politik yang memerintah dan pembangkang.
Kedua-duanya, kata Zaki, saling memerlukan untuk mewujudkan unsur semak dan imbang.
"Kita sanggup bangkang sebab saya tahu keadaannya bagaimana, jadi kita tegurlah. Atlet baru biasanya tak nampak. Hanya lama nanti baru mereka sedar.
"Saya sering menjadi tempat mengadu atlet olahraga. Ramai anak didik saya yang masuk ke program yang disediakan pihak persatuan. Kalau mereka berjaya OK-lah, kalau sebaliknya?" tegasnya.
Bagi Zaki, cinta terhadap sukan dan sayang kepada olahraga mendorongnya mahu melihat platfom itu membawa kegemilangan serta memberi kesan besar kepada negara.
"Sukan adalah penyatuan. Kita boleh lihat bagaimana penyokong bola sepak boleh bersatu. Saya yakin perpaduan di kalangan rakyat negara kita dapat dikukuhkan melalui sukan," tegasnya.
