Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penjenamaan semula gelaran skuad bola sepak negara iaitu Harimau Malaya kepada Harimau Malaysia nampaknya masih dipertikaikan.

Selepas diumumkan gelaran baru semalam, pelbagai komentar dilontarkan kepada FAM walaupun badan induk bola sepak Malaysia sebenarnya cuba memberi 'suntikan' dan imej baru kepada pasukan negara.

Namun, bagi penyokong tegar pasukan negara langkah penjenamaan semula gelaran itu adalah tidak perlu.

Bagi mereka, istilah Harimau Malaya sudah sebati dengan rakyat Malaysia.

Jurucakap Ultras Malaya, Lekir Ahmad, berkata penjenamaan semula itu lebih baik difokuskan kepada pengurusan Harimau Malaya itu sendiri.

"Nama Harimau Malaya sudah sebati dan api perjuangan Harimau Malaya itu sendiri sentiasa membara. Bukannya dengan menggunakan gelaran Harimau Malaya pasukan kita tidak kuat.

"Malah, kita pernah menjadi kuasa Asia suatu ketika dahulu ," katanya kepada Malaysiakini , semalam.

FAM kelmarin mengumumkan gelaran tradisi pasukan bola sepak kebangsaan ditukar kepada Harimau Malaysia dengan mengambil kira sentimen sokongan rakyat negara ini termasuk Sabah dan Sarawak.

Ambil kira suara peminat

Terdahulu, Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, nama gelaran rasmi baru skuad kebangsaan Harimau Malaysia bermula semalam dan ia memberi gambaran skuad kebangsaan milik seluruh rakyat Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

FAM turut menjelaskan gelaran Harimau Malaya asalnya merujuk kepada penyerang kebangsaan era 1940-an hingga 1950-an, Allahyarham Dollah Don (nama sebenar Abdullah Mohd Don).

Bagaimanapun Lekir berkata, peminat dan rakyat di Kepulauan Borneo itu dilihat lebih berfikiran terbuka untuk menggunakan gelaran Harimau Malaya.

Bahkan katanya, sewaktu Malaysia menggunakan nama Malaya sebelum ini tidak kurang juga pemain-pemain hebat dari Sabah dan Sarawak bermain untuk Malaya.

"Semangat juang dan keinginan mereka untuk menabur bakti kepada negara tak pernah luntur.

"Jadi kekalkan nama Harimau Malaya, tetapi ubah 'isi dalam' Harimau Malaya itu sendiri dari aspek pengurusan," jelasnya.

Sementara itu, Lekir turut melontarkan pendapat agar FAM melakukan penjenamaan semula terhadap cara pelantikan Presiden FAM.

"Letakkan peratusan bagi suara penyokong untuk pemilihan presiden. Kerana bola sepak milik rakyat, penyokong juga ada hak memilih.

"Bukan hanya melalui undian dan ahli gabungan serta exco-exco FAM sahaja," tegasnya.

Lihat Komen
ADS