Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Tiada lagi Harimau Malaya...
Diterbitkan:  Feb 2, 2016 3:59 PM
Dikemaskini: 9:06 AM

Lupakan Harimau Malaya sebab kini sudah ada Harimau Malaysia.

Mulai sekarang skuad bola sepak kebangsaan bukan lagi dikenali dengan nama Harimau Malaya.

Dalam kenyataan badan induk bola sepak negara itu, gelaran Harimau Malaya asalnya merujuk kepada penyerang kebangsaan era 1940-an hingga 1950-an, Allahyarham Dollah Don (nama sebenar Abdullah Mohd Don).

Kata FAM gelaran tersebut diberikan kepada beliau oleh Presiden Indonesia, Sukarno, yang menyaksikan kehebatannya dalam satu perlawanan pada 1953.

"Sejak itu gelaran Harimau Malaya terus melekat kepadanya sehingga skuad kebangsaan Malaysia turut digelar sebagai Harimau Malaya selama lebih 50 tahun," kata kenyataan berkenaan.

Namun, bagi memulakan era baru bola sepak Malaysia mulai tahun 2016, FAM berasakan gelaran Harimau Malaya tidak lagi sesuai memandangkan perkataan Malaya itu sendiri tidak lagi diguna pakai secara menyeluruh di negara ini sejak pembentukan Malaysia.

Pinggir Sabah, Sarawak

Justeru Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata nama gelaran rasmi baru Harimau Malaysia dimulakan hari ini dan ia memberi gambaran skuad kebangsaan milik seluruh rakyat Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

"Gelaran ini juga bertepatan untuk menggambarkan skuad kebangsaan kita adalah milik seluruh rakyat Malaysia, termasuk penduduk di Sabah dan Sarawak yang mungkin selama ini terasa sedikit tersisih dengan penggunaan gelaran Harimau Malaya," katanya di majlis di Kuala Lumpur hari ini.

Pada majlis itu juga empat penaja rasmi yang terus memberi sokongan dan komitmen bersama skuad kebangsaan untuk tahun 2016 diumumkan iaitu Telekom Malaysia (TM), Bank Islam, Nike dan 100PLUS.

TM yang merupakan rakan utama kepada pasukan kebangsaan sejak 2011 memeterai pebaharuan perjanjian penajaan selama lima tahun lagi sehingga 2020.

“Inilah yang dinamakan sokongan padu yang tidak berbelah bagi” kata Tengku Abdullah.

Harimau Malaya umumnya merujuk kepada subspecies harimau di Semenanjung Malaysia.

Peluang cipta logo baru

Bagaimanapun penggunaannya untuk pasukan kebangsaan dianggap seolah-olah meminggirkan penduduk Sabah dan Sarawak.

Sehubungan dengan itu FAM juga mengadakan pertandingan mencipta logo baru Harimau Malaysia yang terbuka kepada semua warganegara Malaysia.

Tiga logo terbaik akan disenarai pendek untuk diundi melalui atas talian di laman sesawang www.fam.org.my.

Pemenang akan menerima hadiah bernilai RM10,000 serta pengalaman bersama-sama skuad kebangsaan di kejohanan AFF Suzuki akhir tahun ini.

Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman sesawang rasmi FAM atau Facebook Football Association of Malaysia (Official) dan akaun Twitter @FAM_Malaysia.

Lihat Komen
ADS