Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Rupa-rupanya, menurut Datuk Aliff Syukri Kamarzaman, dia memang bercadang memberi 'derma' sebanyak RM5 juta kepada Persatuan Bola Sepak Kedah sebelum ini.

Sumbangan 'saja-saja' itu katanya, akan diberikan jika beliau tidak mendapat projek yang dirancang bersama kerajaan negeri.

"Kalau saya tidak dapat projek (pelaburan), saya masih nak taja dan mereka (KFA) sudah dapat draf akhir. Saya berhasrat nak taja RM5 juta secara percuma.

"Tetapi, sekarang ini saya sudah tawar hati. Kenyataan mereka (membatalkan tajaan) juga sudah muktamad itu. Sebelum ini memang saya akan taja walaupun cadangan saya tidak diterima," katanya di sidang media di Kota Damansara semalam.

Pengasas syarikat D'Herbs Holding (M) Sdn Bhd itu membuat sidang media untuk menjelaskan isu tajaan untuk KFA.

Sebelum ini D'Herbs sudah bersedia menyalurkan dana bernilai RM30 juta untuk tiga musim bagi membantu Kedah bersaing dalam Liga Super.

Ketika persetujuan itu dilihat sudah hampir dimuktamadkan kelmarin KFA membuat kenyataan menolak tawaran berkenaan.

Bukan berbolak-balik

Ia kemudian turut ditegaskan presiden KFA yang juga Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Difahamkan keputusan itu dibuat kononnya untuk 'menyelamatkan' tanah seluas 60 hektar di Jabi, Pokok Sena.

Aliff Syukri berkata hubungannya dengan KFA bagaikan 'bercerai' walaupun sebelum ini persatuan itu serta penyokong Kedah mengharapkan D'Herbs membantu pembangunan bola sepak negeri berkenaan.

"Saya sekarang 'dalam idah' (justeru) biarlah dulu buat masa ini.

"Saya boleh menaja mana-mana pasukan (lain), tetapi biarlah dengan mereka yang profesional, bukan kebudak-budakan dan berbolak-balik," katanya.

Mengenai wang tajaan itu Aliff Syukri berkata KFA mengambil sikap merahsiakan cara perbelajaan wang tajaan yang mahu dilaburkan.

"Bila saya tanya bagaimana dan apa pecahan wang tajan itu dibelanjakan, KFA sekadar menjawab mereka lebih tahu untuk menguruskannya.

"Sedangkan saya mestilah nak (tahu) ke mana duit dibelanjakan, sebab jumlahnya bukan sedikit.

"Awak rasa sikit atau banyak (wang berniai) RM30 juta tu?" soalnya kepada wartawan.

Selain tanah, syarat dikemukakan D'Herbs juga melibatkan penggunaan papan iklan di setiap daerah negeri Jelapang Padi itu.

Mengulas lanjut beliau mengakui membuat permintaan untuk menaikkan 25 papan tanda.

"Permintaan saya itu tidak diterima tetapi bila saya minta dikurangkan kepada 12, KFA bersetuju.

"Jadi, tidak sepatutnya dibangkitkan dan papan iklan terbabit bukan hanya untuk produk D'Herbs, tapi juga untuk penjenamaan pasukan dan negeri Kedah," jelasnya.

Lihat Komen
ADS