Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jika sebelum ini beliau disorak dan pelbagai kata-kata sinis kini Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dianggap wira rakyat Kedah.

Menteri Besar Kedah merangkap Presiden Persatuan Bola sepak Kedah (KFA) itu menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sejak Februari lalu menjelaskan mengapa pihaknya terpaksa menolak tajaan untuk skuad Helang Merah mewakili rakyat negeri jelapang padi itu.

"Memikul tanggungjawab selaku presiden KFA dan menteri besar, saya bertanggungjawab dalam memastikan hak rakyat Kedah tidak tergadai.

"Permintaan luar jangkaan dituntut pihak penaja terpaksa ditolak jawatankuasa pengurusan KFA demi menjaga kepentingan negeri Kedah," katanya dalam kenyataan di Facebook, malam tadi.

KFA semalam membuat pengumuman menolak penajaan syarikat kosmetik D'Herbs Holding untuk menaja pasukan Kedah ada sebab-sebab tertentu.

D'Herbs sebelum ini dilaporkan bersedia menaja pasukan itu dengan nilai tajaan RM30 juta bagi tempoh tiga musim.

Tanpa menyebut nama mana-mana pihak, Ahmad Bashah berkata, pihaknya akan memastikan dana untuk skuad Helang Merah mencukupi.

"Namun ini bukan titik noktah. KFA akan memastikan dana mencukupi dan akan berusaha membuka dan mencari ruang penajaan baru," katanya.

Jangan buat spekulasi

Sementara itu, Pengasas D'Herbs, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman dalam kenyataannya kecewa dengan keputusan dibuat KFA tanpa perbincangan.

"Saya kecewa tidak dapat menaja Kedah walaupun saya dah lama spend (luang) masa saya, sehingga ke peringkat terakhir.

"Jujur sebenarnya saya amat kecewa sebab penguguman di buat secara tiba-tiba. Tanpa pengetahuan saya langsung," katanya di Facebook.

Kata Aliff Syukri, jika sebelum beliau dan KFA boleh berbincang dengan baik dan bersama tetapi kali ini (keputusan) terus dibuat tanpa pengetahuan beliau.

"Saya berasakan adalah tidak adil untuk saya. Saya akan memberitahu semua isu-isu yang anda nak tahu pada sidang media dalam masa terdekat," jelasnya.

Beliau turut berpesan agar pihak luar tidak memandai-mandai membuat andaian.

"Tunggu kesahihan saya dulu, macam-macam cerita keluar," katanya.

Lihat Komen
ADS