Jika benarlah Jamie Vardy melakukan penghijrahan dari Leicester City ke Arsenal, skuad juara EPL musim lalu itu pasti mengalami kesan yang ketara.
Itulah yang diperihalkan bekas pemain The Foxes, Gerry Taggart susulan gosip perpindahan pemain itu sedang hangat diperkatakan.
Vardy dilaporkan akan melanjutkan kariernya bersama The Gunners dan bakal menjadi pembelian pertama skuad Arsane Wenger pada musim panas ini.
Arsenal juga diberitakan sudah mengaktifkan persediaan mereka dengan tawaran untuk membeli pemain itu.
Menurut Taggart, jika perkara itu terjadi Leicester bakal berdepan kesan negatif yang ketara.
Hal itu kerana, katanya, peningkatan prestasi Leicester sejak dua musim lalu tidak terlepas daripada hasil kerja keras Vardy dan beberapa pemain lain.
"Jika Vardy keluar, akan ada dua atau tiga orang lagi pemain utama akan mengambil langkah sama.
"Saya tahu dengan wang perpindahan, kem kejurulatihan Leicester boleh mencari pengganti terbaik untuk Vardy, tetapi demi kebaikan keseluruhan pasukan, sebaiknya dia bertahan di kelab lama," kata bekas bek Leicester seperti dilaporkan BBC, semalam.
Pengamatan Taggart dilihat ada kebenarannya.
Di samping Vardy, Leicester turut mempunyai pemain seperti Riyad Mahrez dan N'Golo Kante yang turut dikhabarkan akan berpindah.
Terdahulu, Arsenal dilaporkan membuat tawaran bernilai £20 juta (RM118 juta) untuk pembelian Vardy dan pengurusan Leicester dilaporkan tidak berminat menolak.
Kini kata putus dikhabarkan terletak di tangan pemain berusia 29 tahun itu.
Dia juga akan mempertimbangkan tawaran gaji mingguan £120,000 (RM706,112) daripada Arsenal.
Jumlah tersebut dua kali ganda lebih besar berbanding gaji yang diperolehi di Leicester sejak menandatangani kontrak baru pada Februari lalu.
Pada kempen EPL musim lalu, Vardy mencatat rekod sebagai pemain pertama yang menjaringkan gol dalam 11 perlawanan berturut-turut.
Susulan itu, Ahli Parlimen Leicester Timur, Keith Vaz tampil membentangkan usul di parlimen untuk mengiktiraf kecemerlangan Vardy menjaringkan gol dalam 11 perlawanan berturut-turut itu.
Vardy mencipta 13 jaringan daripada 11 perlawanan berkenaan.
