Paling Popular
Terkini

Biar apa pun dikata orang, sekurang-kurangnya penyokong skuad bola sepak Kelantan bolehlah menarik nafas lega dengan sikap cakna Datuk Seri Najib Razak terhadap nasib bola sepak sepak negeri itu khususnya, dan Malaysia amnya.

Walaupun ada pihak tampil dengan pelbagai respon, tindakan perdana menteri benar-benar memberi harapan untuk bola sepak Kelantan terus berada dalam saingan liga Malaysia musim depan.

Biar pun didakwa ada unsur campur tangan politik, banyak sisi lain yang boleh diambil sebagai iktibar di sebalik ketegasan perdana menteri terhadap sukan nombor satu negara itu.

Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan, Mahizi Mahmood (gambar), berkata sebagai penyokong mereka menyambut baik saranan perdanan menteri supaya Kelantan tidak menarik diri daripada liga Malaysia.

"Saranan perdana menteri terhadap sukan bola sepak perlu diperincikan dari segenap aspek. Perlu ada kajian menyeluruh kenapa banyak pasukan berhasrat menarik diri.

"Mungkin kajian perlu dilakukan di peringkat FAM lagi. Buat masa ini bantuan pusat diperlukan bagi menyelamatkan bola sepak di Malaysia terutamanya Kelantan," jelasnya.

Skuad The Red Warrior sebelum ini diputuskan untuk menarik diri daripada bersaing di liga Malaysia pada musim depan selepas menghadapi krisis kewangan kritikal.

Ia susulan ketiadaan penaja, ditambah pengunduran bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa daripada jawatan itu.

Sebelum ini Annuar adalah susuk yang dilihat banyak berjuang serta berkorban untuk bola sepak negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga itu.

Mahizi berkata, sebagai penyokong mereka tidak melihat kecaknaan Najib dari sudut politik semata-mata.

Sebaliknya, tambah Mahizi, penyokong bola sepak perlu memandang dari segi mencari cara memartabatkan sukan tersebut secara lebih efektif.

"Kita jangan bercakap soal profesionalisme dalam bola sepak. Sekarang ini kita perlu bercakap soal macam mana pasukan negeri perlu bertahan untuk terus berada dalam cabaran liga Malaysia.

"Justeru, satu kajian menyeluruh daripada pelbagai aspek perlu dilakukan oleh FAM selaku badan induk bola sepak negara," jelasnya.

Lihat Komen
ADS