Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Najib arah Annuar selamatkan bola sepak Kelantan
Diterbitkan:  Dec 21, 2016 12:56 PM
Dikemaskini: 5:06 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan kebimbangannya susulan hasrat pasukan bola sepak tempatan mahu menarik diri daripada saingan liga Malaysia 2017.

Beliau berkata, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dan persatuan bola negeri-negeri lain yang terbabit harus mencari jalan bagi mengatasi masalah kewangan dihadapi.

"Berkenaan Kafa, saya difahamkan masalah ini timbul berikutan peletakan jawatan Tan Sri Annuar Musa sebagai Presiden.

"Saya telah minta Tan Sri (Annuar) untuk membantu Kafa, agar tidak menghampakan harapan ribuan peminat The Red Warriors," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) memutuskan untuk menarik diri daripada saingan Liga Malaysia 2017 susulan ketidakmampuan menyediakan dana mencukupi untuk pengurusan skuad Kelantan.

Setiausaha Kafa, Datuk Ismail Md Noor dilaporkan berkata, mesyuarat khas exco Kafa yang diadakan kelmarin membuat keputusan Kelantan tidak lagi mampu dan terpaksa menarik diri pada musim depan.

Namun, katanya, keputusan akhir akan dibuat melalui kongres luar biasa yang akan diadakan pada 29 Disember nanti.

Najib menegaskan, bola sepak adalah sukan rakyat nombor satu dalam negara dan maka penting untuk semua yang terlibat dengan bola sepak negara memastikan sukan ini terus berkembang maju.

"Kita tidak boleh menghampakan berjuta peminat bola sepak negara ini terutamanya generasi muda.

"Insya-Allah, dengan adanya persepakatan yang baik serta keikhlasan semua pihak, kita akan dapat mencari jalan keluar dari masalah ini," katanya.

Selain Kelantan, isu sama juga dilaporkan melanda pasukan Selangor dan Perlis berhubung kekurangan sumber kewangan untuk meneruskan saingan musim depan.

Lihat Komen
ADS