Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Buat jaringan lawa tapi Giroud tetap merendah diri
Diterbitkan:  Oct 20, 2017 4:34 PM
Dikemaskini: 9:47 AM

LIGA EUROPA| Ketika sudah menjadi seorang daripada finalis untuk anugerah Puskas, Olivier Giroud sekali lagi mencipta 'keajaiban' dengan jaringan cantik ketika berdepan kelab Red Star Belgrade awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Namun Giroud mengakui insiden itu - yang membolehkan Arsenal kekal dengan rekod kemenangan 100 peratus untuk Liga Europa kali ini dibantu oleh nasib.

Tuah itu hadir pada kaki kiri penyerang The Gunners pada minit ke-85 dan memperdaya pertahanan dan penjaga gol kelab Serbia berkenaan.

Jaringan cantik itu bermula dengan gerakan melalui Jack Wilshere di luar kotak penalti yang membuat umpanan kepada Theo Walcott dan disudahkan dengan sempurna oleh Giroud.

Selepas perlawanan di bandar raya Belgrade itu berakhir Giroud menceritakan apa yang berlaku padanya.

"Saya berada pada posisi boleh mengawal bola atau memberi umpanan kepada rakan, tetapi saya tak nampak sesiapa yang sesuai.

"Jadi saya sekadar membuat cubaan - lebih kurang macam gol (semasa menentang) Crystal Palace.

"Saya agak bernasib baik kerana bola itu meluru ke arah sudut atas gol dan menerjah gawang," katanya.

Giroud, 31, menjadi seorang daripada tiga finalis untuk anugerah Puskas selain Deyna Cristina Castellanos, 18, dan Oscarine Masuluke, 24.

Deyna ialah penyerang skuad wanita kebangsaan Venezuelan dan kelab Santa Clarita Blue Heat, manakala Masuluke bermain sebagai penjaga gol Afrika Selatan serta kelab Baroka FC.

Giroud dipilih berdasarkan jaringan ala sengatan kala jengking menentang Palace pada 1 Jan tahun ini.

Tahun lalu pemain Pulau Pinang Faiz Subri melakar sejarah membanggakan Malaysia apabila menjulang anugerah itu hasil jaringan 'ajaib' ketika menentang Pahang di Stadium Bandaraya di George Town.

Mengenai perlawanan awal pagi tadi pemain kebangsaan Perancis itu merendah diri dengan berkata penjaga gol Arsenal, Petr Cech, lebih layak menerima pujian kerana beraksi cemerlang mempertahankan gawang mereka.

"Kami tahu ia bukan perlawanan muda dan perlu bersabar.

"Suasana di Belgrade memang berbeza dan menyukarkan kerana penonton tempatan memberikan sokongan padu kepada kelab mereka.

"Kami terhutang budi kepada Cech untuk kemenangan ini kerana dia beraksi begitu cemerlang dua atau tiga kali.

"Cech membuktikan dia ialah seorang penjaga gol hebat," katanya.

Kemenangan 1-0 itu meletakkan Arsenal lima mata di depan pencabar terdekat kumpulan H, BATE Borisov.

Red Star Belgrade pula menduduki tempat ketiga walaupun mempunyai mata sama dengan Borisov namun dibezakan oleh jumlah jaringan.

Cologne ditempatkan di posisi tercorot dan masih gagal memperoleh sebarang mata daripada tiga perlawanan.

Lihat Komen
ADS