Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
George Weah potong gaji sendiri demi Liberia
Diterbitkan:  Feb 7, 2018 6:30 PM
Dikemaskini: 11:12 AM

Menjadi presiden di sebuah negara yang pernah mengalami dua perang saudara, dilanda kemiskinan dan amalan rasuah menjadi wabak, banyak yang perlu dilakukan bekas pemain bola sepak terbaik dunia, George Weah.

Selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai presiden Liberia pada 22 Jan lalu Weah mula melakukan reformasi.

Antara lain dia mengarahkan semua bekas kakitangan kerajaan yang masih menggunakan kereta negara supaya memulangkannya.

Weah, 51, juga memerintahkan pegawai kanan kerajaan membuktikan kelayakan mereka memegang jawatan masing-masing.

Melalui arahan bertarikh 5 Feb itu bekas pemain kelab gergasi Perancis, Paris St-Germain, serta AC Milan berkenaan mahu pegawai terbabit menunjukkan surat pelantikan masing-masing.

Kedua-dua arahan itu mesti dipatuhi selewat-lewatnya 9 Feb ini.

Di pihak Weah sendiri, dia bersetuju menerima gaji lebih rendah berbanding sepatutnya.

Melalui ucapan dibuatnya Isnin lalu Weah berkata suku daripada peruntukan untuk gaji bulanannya akan dikembalikan kepada kerajaan.

Kaut keuntungan peribadi

Weah bertanding dalam pilihan raya umum Liberia pada 10 Okt 2017 menggunakan tiket Gabungan Untuk Perubahan Demokratik.

Bagaimanapun dia hanya memperoleh 38.4 peratus undi, memaksa pilihan raya pusingan kedua diadakan.

Dia kemudian bersaing dengan calon Parti Perpaduan Joseph Boakai - yang juga bekas naib presiden negara itu - pada 26 Dis.

Selepas pengundian Weah meninggalkan Boakai jauh di belakang dengan memperoleh lebih 60 peratus undi.

Minat Weah untuk menjadi presiden bukanlah baru. Dia mula mencuba nasib untuk menjadi nakhoda negaranya seawal 2005.

Ketika itu Liberia masih dilanda perang saudara.

Untuk rekod perang saudara pertama di negara pantai barat benua Afrika itu berlangsung antara 1989 hingga 1996, diikuti konflik kedua 1999 hingga 2003.

Dalam ucapannya ke seluruh negara 5 Feb lalu Weah mengakui ekonomi Liberia kini berantakan dan kerajaan belum disusun dengan baik.


Baca: Doktor buas cabul lebih 100 atlet


"Mata wang kita jatuh, inflasi melambung, kadar pengangguran sangat tinggi dan tidak pernah dialami sebelum ini, manakala rizab asing berada pada paras paling rendah dalam sejarah," katanya.

Pengumuman mengenai langkah kawalan kerajaan itu dijangka mendapat sokongan ramai ketika sebahagian pegawai kanan negara sebelum ini diketahui banyak mengaut keuntungan peribadi daripada jawatan masing-masing.

Selain itu Weah juga berikrar untuk menghapuskan peruntukan perlembagaan yang dianggap bersifat diskriminasi.

Republik tertua Afrika itu dibina oleh sekumpulan hamba yang dibebaskan dari AS. Mereka mengisytiharkan kemerdekaan pada 1847.

Keadaan semasa menyebabkan hanya orang "kulit berwarna" boleh dilantik menjadi warga Liberia serta memiliki sesuatu aset dalam negara itu.

Weah menganggap peruntikan itu "tidak perlu, rasis dan tidak wajar".

Lihat Komen
ADS