Wenger cadangkan kisah hidup Weah difilemkan

   

Ajaib - itu istilah digunakan Arsene Wenger untuk menggambarkan perjalanan hidup salah seorang pemain bola sepak yang pernah diasuhnya sehingga menjadi antara yang terbaik di dunia, George Weah.

Dianggap sebagai antara pemain terhebat pernah dilahirkan Afrika, Weah kini menjadi presiden ke-25 Liberia.

Berusia 51 tahun Weah menjadi perhatian - dan harapan - ramai apabila mengambil pendekatan menarik sebaik saja menjadi presiden negara itu secara rasmi pada 22 Jan lalu.

"Secara umum seluruh perjalanan hidupnya - bagi saya - sebuah keajaiban," kata Wenger, 68, mengulas mengenai keperibadian Weah.

Weah pernah berguru dengan Wenger ketika kedua-dua mereka berkhidmat di kelab Monaco antaa 1988 dan 1992.

Monaco ketika itu menjadi antara kelab yang disegani sama ada di Ligue 1 Perancis atau persaingan di Eropah.

Menceritakan permulaan perkenalan mereka, Wenger berkata, suatu hari seorang rakannya yang juga jurulatih di Cameroon melawatnya di Monaco.


Baca: Antara presiden bola dan PM golf


Kesempatan itu kata Wenger digunakan untuk merisik seorang pemain penyerang gantian yang sesuai dengan perancangannya.

"Kami hanya dibenarkan mengambil dua pemain luar dan kami sudah ada Mark Hateley, cuma mengalami kecederaan.

"Kemudian rakan saya itu berkata: ada seorang pemain, boleh tahan juga.

"Saya kemudian menghubungi rakan saya itu setiap minggu untuk bertanya keadaan pemain yang dicadangkannya," cerita Wenger.

Tak ada mustahil

Ekoran itu Monaco menghantar seorang pegawainya untuk melihat sendiri pemain yang dicadangkan.

Apabila diberitahu pemain itu memenuhi keperluan Monaco, Wenger memberi arahan mudah: bawa dia pulang bersama kamu.

"Saya menerima dia dan pemain itu bermula dengan sangat teruk. Pemain lain pun ketawa melihat dia, tapi dia rajin belajar," katanya lagi.

Antara kelebihan yang ada pada pemain itu - yang kemudian dikenali dunia sebagai George Weah - ialah kelebihan fizikal serta ketangkasan gerak-gerinya.

Namun Wenger tidak cepat berpuas hati. Dia kemudian mengarahkan Weah menurunkan berat badan dan arahan itu dipatuhi dengan taat.

"Kami beriadah bersama dan dia kemudian dikenali semua orang dalam pasukan. Perubahan sangat luar biasa," katanya.

Selain itu Wenger mendedahkan Weah seorang yang pemalu tetapi di sebalik watak itu, dia juga seorang yang pemurah serta mengambil berat hal orang lain.

Ketika itu juga Liberia bergolak dengan perang saudara.

"Kadang-kadang pada malam tertentu saya nampak Weah menelefon seseorang bertanyakan keadaan negaranya," kata Wenger.

Justeru kata pengurus Arsenal itu, kisah Weah sangat sesuai difilemkan dan yakin ia akan menghasilkan cerita yang hebat.

"Cuba bayangkan - orang ini datang ke Monaco dari Cameroon tanpa ada apa-apa, kemudian hari ini menjadi presiden negaranya.

"Mesej yang disampaikan ialah tidak ada yang mustahil dalam hidup ini," katanya.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.