Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Atlet disyaki jual perlawanan bukan pemain BAM
Diterbitkan:  Feb 13, 2018 5:26 PM
Dikemaskini: 9:31 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan seorang pemain badminton disiasat berhubung dakwaan mengatur perlawanan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata kes berkenaan masih di peringkat awal dan pihaknya baru menerima maklumat berhubung aduan tersebut.

"Tapi setakat yang kami dapat, dia (suspek) bukan pemain BAM (Persatuan Badminton Malaysia).

"Dia pemain indipendent (bebas)," katanya kepada media di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu Azam menyertai Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad serta pegawai kanan lain menghadiri pelancaran kempen antirasuah bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd. Aziz.

Media sebelum ini melaporkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sedang menyiasat seorang pemain badminton profesional kerana disyaki terbabit dalam skandal mengatur perlawanan.

Menurut BH Online yang memetik sumber, pemain berusia 20-an itu pernah mewakili Malaysia dalam kejohanan antarabangsa.

Menurut sumber itu, BWF mula memantau pemain terbabit sejak Februari tahun lalu tetapi hanya menggantung pemain itu pada Januari tahun ini selepas kegiatan mengatur perlawanan dilihat kian ketara.

Sangat jarang berlaku

Penggantungan berjalan sehingga siasatan selesai.

"BWF sudah memanggil pemain terbabit untuk siasatan lanjut hujung tahun lalu.

"Badan induk badminton dunia itu kini dikatakan mempunyai bukti mencukupi untuk membuat dakwaan ke atas pemain itu termasuk hasil pemeriksaan terhadap telefon bimbitnya.

"Daripada telefon bimbitnya itu, BWF mendapati ada kandungan mesej dalam aplikasi WhatsApp yang menjurus kepada kegiatan mengatur perlawanan," kata sumber itu.

Menurut Azam SPRM akan meneliti apa-apa dapatan daripada siasatan dibuat pihak berkuasa badminton.

"Tetapi ini isu yang sangat langka berlaku," katanya.

Untuk rekod kegiatan menjual atau mengatur perlawanan biasanya melibatkan sukan bola sepak.

Selain pernah dibongkar besar-besaran di negara ini, amalan menjual perlawanan bola sepak juga banyak berlaku di seluruh dunia dan ia membabitkan rangkaian sindiket antarabangsa.

Bagaimanapun aktiviti menjual perlawanan membabitkan sukan badminton sangat jarang diperkatakan.

Lihat Komen
ADS