Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Laporan: Pemain badminton didakwa atur perlawanan
Diterbitkan:  Feb 13, 2018 11:53 AM
Dikemaskini: 4:00 AM

Seorang pemain badminton negara kini disiasat Persekutuan Badminton Dunia (BWF) atas dakwaan terlibat dalam skandal mengatur perlawanan.

Menurut laporan BH Online yang memetik sumber hari ini, pemain berusia 20-an itu pernah mewakili Malaysia dalam kejohanan antarabangsa.

Menurut sumber itu, BWF mula memantau pemain itu sejak Februari tahun lalu tetapi hanya menggantung pemain itu pada Januari lalu selepas kegiatan mengatur perlawanan dilihat kian ketara.

Penggantungan berjalan sehingga siasatan selesai.

"BWF sudah memanggil pemain terbabit untuk siasatan lanjut hujung tahun lalu. Badan induk badminton dunia itu kini dikatakan mempunyai bukti mencukupi untuk membuat dakwaan ke atas pemain itu termasuk hasil pemeriksaan terhadap telefon bimbitnya.

"Daripada telefon bimbitnya itu, BWF mendapati ada kandungan mesej dalam aplikasi Whatsapp yang menjurus kepada kegiatan mengatur perlawanan," kata sumber itu seperti dipetik.

Sumber itu memaklumkan sesi sebutan kes akan diadakan di Singapura pada bulan ini.

Menurut laporan itu lagi, BWF mula mengesyaki pemain itu selepas melihat gaya hidupnya yang mewah dan ia juga sudah menjadi bualan di kalangan mereka yang terlibat dalam sukan badminton di negara ini.

Jika terbukti bersalah, pemain itu berdepan risiko penggantungan seumur hidup.

Lihat Komen
ADS