Datuk Seri Zambry Abd Kadir mungkin menyangka beliau lebih awal melakukan kerja-kerja mengutip sampah daripada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Tapi masing-masing bekas menteri besar Perak dan menteri belia dan sukan itu bukanlah pelopor kempen mengutip sampah di stadium.
Pasukan bola sepak JDT, melalui kenyataan di Facebook Johor Southern Tigers, mendakwa mereka sebenarnya sudah menekankan penjagaan alam sekitar kepada penyokong mereka sejak 2015.
Jelas JDT, program yang mereka namakan sebagai ZeroWaste itu adalah bagi mewujudkan komuniti yang berdisiplin di kalangan penyokong mereka.
"Program ZeroWaste yang dilancarkan (adalah) diadaptasi dari negara Jepun yang sinonim dengan sikap menjaga alam sekitar.
"(Program itu) telah diguna pakai oleh Tunku Mahkota Johor dan para penyokong JDT sejak dari tahun 2015 bagi mewujudkan komuniti penyokong JDT yang berdisiplin.
"Semoga sikap ini kita teruskan sampai bila-bila dan di mana sahaja," kata keterangan yang menyertai gambar penyokong JDT sedang mengutip sampah di stadium yang dimuat naik hari ini.
JDT membuat kenyataan itu ketika kiriman klip video di akaun Twitter Syed Saddiq yang memaparkan dirinya sedang mengutip sampah di stadium sambil diiringi polis diulang ciap (retweet) sebanyak 21,231 kali.
Syed Saddiq yang baru dilantik bagi menerajui Kementerian Belia dan Sukan berbuat demikian selepas perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.
Pemimpin Pemuda Parti Peribumi Bersatu Malaysia itu mendapat pelbagai pujian, termasuk daripada Zambry.
Seperti Zambry yang pernah mengutip sampah dan mengisi tajuk berita, Syed Saddiq juga menerima kecaman yang mendakwa tindakannya sebagai mencari publisiti murahan.
Berdasarkan tinjauan sepintas lalu, rata-rata respons pengguna media sosial mengaitkan trend mengutip sampah itu dengan tindakan serupa penyokong Jepun dalam saingan Piala Dunia di Rusia.
Pengguna media sosial juga menyatakan harapan agar trend mengutip sampah selepas perlawanan disambut sebagai perkembangan yang sihat dan dijadikan budaya, dan bukan sekadar untuk mengisi tajuk berita.
