Paling Popular
Terkini

“Kalau boleh,” kata Nik Nazmi Nik Ahmad yang menawarkan diri untuk bertanding bagi mengisi jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

Kata anggota parlimen Setiawangsa itu langkahnya menawarkan diri untuk mengetuai KLFA bersifat sukarela selain berdasarkan semangat kesukanan yang tinggi.

“Saya ini cuma backbencher (anggota parlimen penyokong kerajaan), saya tidak ada GLC (syarikat berkaitan kerajaan) yang boleh saya kawal, yang boleh saya seleweng atau seumpamanya.

"Apa yang saya ada adalah semangat kesukanan yang tinggi,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen, hari ini.

Terdahulu Nik Nazmi merancakkan pemilihan jawatan tertinggi KLFA apabila menjadi calon kedua yang berminat selepas Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon membuat pengumuman pada 29 Okt lalu. 

Pada 31 Okt Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menasihatkan ahli politik agar mengelak daripada menggunakan kedudukan mereka bagi menerajui persatuan sukan.

Anggota parlimen Muar itu berkata kerajaan berhasrat melihat persatuan sukan diterajui individu yang benar-benar berkelayakan.

Bola sepak semata-mata

"Kalau seseorang itu ingin mengepalai persatuan sukan tetapi tiada kepakaran atau minat dalam sukan tersebut, hanya kerana kedudukan politiknya, saya ingin nasihatkan mereka, tolonglah tolak tawaran tersebut atau ketepikan dahulu," katanya. 

Menurut Nik Nazmi kenyataan dikeluarkan Syed Saddiq itu bersifat nasihat semata-mata dan bukannya larangan.

“Menteri itu juga ada sebut, kementerian dia tidak boleh memaksakan satu peraturan berhubung isu ini, dan kenyataan beliau ialah nasihat," katanya.

Diminta mengulas mengenai motif di sebalik tindakan beliau menentang Mohd Rashid dan kaitannya dengan pemilihan PKR, Nik Nazmi menjelaskan ia bersifat persaingan untuk bola sepak semata-mata.

"Bagi saya ini adalah sebab bola sepak. Saya mahu kami dihakimi atas dasar sukan bola sepak semata-mata.

"Tidak ada kaitan dengan persaingan antara kem (dalam PKR).

"Datuk Rashid - kalau tak silap saya - dia tinggal di Setiawangsa. Dia sahabat, saya kenal dengan baik. Jadi kami bersaing tiada kaitan dengan politik atau apa-apa," katanya yang bertanding untk jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

Dalam pemilihan PKR yang bermula sejak 23 September lalu dua kem utama bersaing merebut jawatan utama termasuk timbalan presiden yang menyaksikan Datuk Seri Azmin Ali dan Rafizi Ramli.

Mereka juga embariskan kumpulan masing-masing dari pelbagai lapisan jawatan termasuk Naib Presiden dan pemuda.

Nik Nazmi merupakan calon MPP menyokong Rafizi manakala timbalan speaker Rashid menyokong kepimpinan Azmin.

Lihat Komen
ADS