Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Syed Saddiq gesa ahli politik elak terajui persatuan sukan

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini menasihatkan ahli politik agar mengelak dari menggunakan kedudukan  untuk menerajui persatuan sukan.

Sebaliknya, anggota parlimen Muar itu berkata kerajaan berhasrat untuk melihat persatuan sukan diterajui individu yang benar-benar berkelayakan.

"Kalau seseorang itu ingin mengepalai persatuan sukan tetapi tiada kepakaran atau minat dalam sukan tersebut, hanya kerana kedudukan politiknya, saya ingin nasihatkan kepada mereka, tolonglah tolak tawaran tersebut atau ketepikan dahulu," katanya kepada pemberita di lobi parlimen.

Terdahulu, dalam sesi penggulungan di Dewan Rakyat, Syed Saddiq turut menyatakan pendirian menolak penglibatan ahli politik dalam persatuan sukan.

Ketika diminta mengulas tindakan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon menawarkan diri sebagai calon presiden KLFA, Syed Saddiq sekali lagi menegaskan perkara tersebut sebaiknya dielakkan.

"Seperti yang saya tekankan tadi, saya berpegang pada prinsip yang sama.

"Tapi seperti apa yang saya bincangkan juga tadi, ada pengecualian bagi mereka yang merupakan ahli politik tapi benar-benar minat sukan tersebut," tambahnya.

Beliau turut memberikan amaran kepada ahli politik yang memegang jawatan dalam mana-mana persatuan sukan agar tidak menyalahgunakan kedudukan mereka bagi mendapatkan peruntukan daripada kementeriannya.

"Kalau mereka tetap buat perkara tersebut, tolong jangan datang ke KBS minta peruntukan tambahan atau khas hanya kerana kedudukan politik.

"Kerana saya sudah menjauhkan diri dari proses pemilihan tersebut," tegasnya.

Semalam Mohd Rashid yang juga merupakan ahli parlimen Batu Pahat tampil mencalonkan diri sebagai presiden KLFA bagi musim penggal 2018-2022.

Mengulas tentang pengalamannya dalam pengurusan bola sepak, Mohd Rashid berkata selain minat yang mendalam sejak bangku sekolah, beliau turut pernah diminta membantu skuad Melayu Pulau Pinang dalam pertandingan Piala Emas Raja-Raja musim 2017.

Lihat Komen
ADS