Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Kecoh di Jakarta: Fifa dihujani aduan warga Malaysia
Diterbitkan:  Sep 6, 2019 1:22 PM
Dikemaskini: 5:39 AM

Tidak berpuas hati dengan kekasaran penyokong Indonesia, warganet Malaysia menyerang laman media sosial Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Di Facebook, Instagram, dan Twitter, halaman rasmi Fifa dihujani aduan bertubi-tubi daripada warganegara Malaysia yang menuntut agar siasatan dilakukan terhadap Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI).

Pada satu hantaran terbaru tentang Fifa Diversity Award di laman rasmi Fifa di Facebook, warganet Malaysia membanjiri ruangan komen dengan tuntutan agar Fifa mengambil tindakan tegas terhadap PSSI dan mengharamkan Indonesia menyertai mana-mana perlawanan.

“Ke hadapan Fifa. Tolong ambil tindakan tegas dan lucutkan kelayakan Indonesia daripada mengambil bahagian dalam mana-mana pertandingan.

“Penyokong Indonesia melempar batu kepada penyokong Malaysia, ini tak boleh diterima dan membahayakan keselamatan penyokong Malaysia di dalam stadium.

“Tindakan pantas dan kerjasama anda (Fifa) amatlah dihargai. Terima kasih.”- antara komen yang diulang hantar oleh warganet. Didapati, beberapa hantaran terdahulu turut dihujani komen-komen bernada serupa.

Dalam kejadian semalam, tiga penyokong Malaysia cedera setelah tercetus kekecohan ketika dan sesudah perlawanan bola sepak antara Malaysia dan skuad Garuda di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta.

Harimau Malaya menewaskan tuan rumah dengan keputusan 3-2 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Jakarta semalam,

Di Twitter, #HarimauMalaya paling sohor di tangga teratas di Malaysia, manakala Fifa di tangga kedua.

Selain ucapan tahniah atas kemenangan Harimau Malaya, rata-rata ciapan turut menyuarakan ketidakpuasan hati atas insiden semalam serta menuntut Fifa mengambil tindakan tegas.

Di Instagram rasmi Fifa juga, hantaran-hantaran dibanjiri komen hampir serupa dengan yang didapati di Facebook dengan warganet meminta Fifa mengambil tindakan tegas dan melarang Indonesia daripada menyertai mana-mana kejuaraan bola sepak.

Kekecohan berlaku dua kali, iaitu tidak lama selepas separuh masa kedua bermula, sehingga memaksa perlawanan terpaksa dihentikan seketika, dan sekali lagi di akhir pertandingan yang melarat ke luar stadium.

Beratus penyokong Malaysia termasuk Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terperangkap di dalam stadium selama kira-kira dua jam.

Kesemua 24 pemain dan pegawai pasukan negara terpaksa menaiki kira-kira lima kereta perisai barracuda ke hotel penginapan atas faktor keselamatan selepas aksi terbabit dicemari insiden kekecohan dicetuskan segelintir penyokong tuan rumah.

Skuad Harimau Malaya pernah melalui pengalaman sama selepas dikepung dan dibaling objek keras ketika menjulang Piala AFF 2010 selepas melakar kemenangan agregat 4-2 ke atas Indonesia.

Pada Sukan Sea 2011, situasi sama berlaku apabila pasukan negara sekali lagi dibawa menaiki kereta perisai barracuda selepas berdepan provokasi penyokong tuan rumah.

Lihat Komen
ADS