Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Tiga warga M'sia cedera susulan kekecohan di Gelora Bung Karno
Diterbitkan:  Sep 6, 2019 10:17 AM
Dikemaskini: 3:11 AM

Tiga warga Malaysia cedera dalam kekecohan ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 antara Malaysia dan skuad Garuda di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta, yang menyaksikan skuar Harimau Malaya menewaskan tuan rumah dengan keputusan 3-2.

Penyokong Harimau Malaya, Shah Fezan berkata salah seorang kawannya tercedera dalam kekecohan pertama yang tercetus tidak lama selepas separuh masa kedua bermula, sehingga memaksa perlawanan terpaksa dihentikan seketika.

Dia yang dipetik CNN Indonesia berkata, terdapat penyokong tuan rumah yang membaling mercun, botol dan objek lain ke arah penyokong Malaysia di stadium.

“Ada tiga yang terluka. Salah satunya jatuh terpeleset (tergelincir) saat keributan di tribune (tempat duduk penyokong).

Tangannya patah, lalu dibantu evakuasi keluar dan sudah dibawa ke rumah sakit," katanya seperti dipetik.

Kekecohan kedua berlaku di akhir pertandingan yang melarat ke luar stadium, menyebabkan beratus penyokong Malaysia termasuk Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terperangkap di dalam stadium selama kira-kira dua jam.

Pihak berkuasa Indonesia terpaksa melepaskan gas pemedih mata untuk meleraikan kekecohan itu.

Menurut Detik.com, Menteri Belia dan Sukan Indonesia Imam Nahrawi dijangka bertemu dengan Syed Saddiq pagi ini ekoran kejadian tersebut.

Berdasarkan laporan Bernama, kesemua 24 pemain kebangsaan dan pegawai Malaysia meninggalkan stadium dengan menaiki lima kereta perisai barracuda sambil dikawal ketat oleh pihak berkuasa Indonesia.

Malaysia dijadualkan bertemu Emiriah Arab Bersatu di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini. 

Lihat Komen
ADS