Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Pemain naturalisasi kebangsaan Brendan Gan mengakui tarikh 5 Nov sebagai hari paling indah dalam hidupnya selepas menimang cahaya mata yang diberi nama Koa Brooklyn Gan.

Dalam kiriman di media sosialnya, Gan dilihat mengucapkan "hari paling indah dalam hidupku... melihat isteriku yang hebat (Elyse) membawa anak kecil lahir ke dunia". 

Gan, 31, yang berdarah kacukan Australia-Malaysia, kemudiannya mendedikasikan gol yang dijaringkannya ketika perlawanan menentang Thailand dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil minggu lalu buat anaknya yang baru dilahirkan itu.

Dalam satu kiriman di Facebook sebelum turun menentang Thailand minggu lalu Gan juga menulis "Koa akan menjadi inspirasi buat saya untuk memberikan lebih dari 110 peratus".

Seakan benar-benar membawa semangat yang diberikan anaknya, Gan yang juga dikenali sebagai "Top Gan" berjaya menjaringkan gol penyamaan dan turut membantu Mohamadou Sumareh menjaringkan gol kedua sekali gus memberikan kemenangan buat Harimau Malaya dalam perlawanan itu.

Gol itu juga merupakan gol sulung yang dijaringkan Gan selepas 15 penampilan bersama pasukan kebangsaan.

Iras Roy Keane

Gaya permainan dipamerkan Gan dilihat seakan sama dengan apa yang pernah ditonjolkan bekas legenda Manchester United Roy Keane sewaktu zaman bermainnya di Old Trafford.

Kedua-duanya adalah pemain tengah, sentiasa membayangi gerakan box-to-box yang dilakukan dan pada masa sama dapat mempamerkan aksi bertahan dengan sangat tenang.

Mereka juga mempunyai keupayaan untuk menjaringkan gol dan paling menarik kedua-keduanya pernah mengalami kecederaan lutut yang sama.

Keane pernah mengalami kecederaan ACL pada 1997 manakala Gan pula mengalaminya pada 2015 dan sekali lagi pada 2016 ketika turun dalam perlawanan persahabatan menentang Indonesia.

Esok, Gan sekali lagi akan turun menentang Indonesia dalam perlawanan timbal balik peringkat kumpulan selepas perlawanan pertama di Jakarta pada September lalu yang menyaksikan kekecohan dalam dan di luar padang.

Menteri belia dan sukan Indonesia Imam Nahrawi sebelum ini telah memohon maaf kepada rakan sejawatannya di Malaysia, Syed Saddiq Abdul Rahman yang ketika itu terperangkap bersama ratusan penyokong Malaysia dalam stadium selama dua jam.

Kejadian itu menyaksikan pihak polis Indonesia terpaksa menggunakan gas pemedih mata ke atas penyokong tuan rumah yang merusuh bagi meredakan keadaan.

Penyokong tegar skuad negara, Ultras Malaya akan menjadi pemain ke 12 dalam perlawanan kali ini sama seperti yang dilakukan mereka ketika skuad bimbingan Tan Cheng Hoe menewaskan skuad Gajah Perang minggu lalu.

Kumpulan penyokong itu bagaimanapun dilaporkan memberitahu portal berita dari Indonesia, www.liputan6.com yang mereka tidak berniat untuk membalas apa yang telah dilakukan penyokong Indonesia kepada mereka sewaktu di Jakarta.

Presiden FAM Hamidin Mohd Amin juga meminta agar kumpulan penyokong tidak bertindak ganas sehingga menyebabkan berlakunya pergaduhan antara kedua pihak.

"Saya harap tidak akan ada keganasan yang berlaku dari kedua-dua penyokong Indonesia dan Malaysia. Kita (FAM) tidak mahukan masalah melibatkan penyokong di Malaysia," katanya.

Lihat Komen
ADS