Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Sukan
Atlet boleh jadi inspirasi untuk buat kerja amal - Aktivis

Kerja amal kebajikan yang dilakukan oleh atlet-atlet terkemuka dunia sering mendapat perhatian meluas di media sosial.

Setiap kali nama-nama seperti bintang bola sepak Juventus, Christiano Ronaldo atau bintang Arsenal, Mesut Ozil dilaporkan membuat sumbangan kebajikan, ia pasti diulang-kongsi sehingga sohor di pelbagai platform media sosial berbeza.

Bagi aktivis-aktivis kebajikan, perkara sama diharapkan dapat dilihat di Malaysia, iaitu atlet Malaysia menggunakan pengaruh mereka yang kuat untuk menarik perhatian kepada kerja-kerja kebajikan.

Menurut pengasas Yayasan Chow Kit, Dr Hartini Zainudin, meskipun mengakui kerja-kerja kebajikan bukanlah sesuatu yang boleh dipaksa atau didesak, namun besar harapannya agar golongan berpengaruh seperti atlet dapat mengunakan pengaruh mereka ke arah itu.

“Macam kami di Yayasan Chow Kit, kami harap sangat-sangat pada golongan berpengaruh (influencers), dan atlet semuanya influencers, yang boleh menonjolkan isu yang penting pada masa kini.

“Alangkah baiknya jika atlet sanggup melakukan kerja-kerja kebajikan, kerana bagi saya mereka bukan sahaja bukan sahaja mempunyai pengaruh dan suri teladan yang hebat, tetapi juga disiplin …” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

AKtiviti Jom Sahur untuk gelendangan anjuran Yayasan Chow Kit pada bulan Ramadhan.

Yayasan Chow Kit menyediakan perkhidmatan kebajikan dalam pengendalian krisis, terapi, pengurusan kes, program pendidikan dan penyediaan makanan buat kanak-kanak berisiko di Chow Kit, dan mendedahkan mereka dengan peluang positif supaya mereka mampu memaksimumkan potensi masing-masing.

Kata Hartini, atlet selalunya mempunyai cerita hidup yang mampu memberikan semangat dan inspirasi, dan perkara itulah yang dicarinya, bagi memberikan inspirasi terhadap kanak-kanak di Yayasan Chow Kit.

“Alangkah baiknya jika ada mana-mana atlet dapat turun ke Yayasan Chow Kit.

“Tapi (jika boleh) saya mencari atlet yang muda dan berjaya (dalam kerjaya mereka), sebab ini dapat disampaikan (kepada kanak-kanak), untuk memberi inspirasi kepada orang lain supaya dapat menjadi seperti mereka,” katanya lagi.

Di peringkat antarabangsa, antara atlet yang mempunyai reputasi baik dalam kerja kebajikan ialah Ronaldo, antaranya apabila beliau melelong kasut emasnya dan trofi Ballon d'Or untuk tujuan kebajikan, menjadi duta beberapa badan kebajikan, dan melakukan derma untuk tujuan itu.

Ozil juga pada bulan lalu menyatakan komitmen untuk menangung kos pembedahan 1,000 kanak-kanak di seluruh dunia untuk mengubah hidup mereka.

Pandangan Hartini itu turut dikongsi oleh seorang lagi aktivis sosial terkenal, Syed Azmi Alhabshi yang menganggap penglibatan atlet dalam kerja-kerja kebajikan sebagai satu “cita-cita” untuknya.

Malah, Syed Azmi (gambar, bawah) turut berharap pihak kerajaan dapat memainkan peranan dalam memanfaatkan pengaruh atlet dalam isu kebajikan, terutamanya ketika atlet “masih laku”, iaitu ketika masih berada di waktu kegemilangannya.

Katanya, atlet-atlet boleh dilatih dengan seni pengucapan awam untuk menyebarkan pengalaman dan pengetahuan mereka menerusi kursus dan latihan, bukan sekadar digunakan untuk hal-hal yang membawa keuntungan seperti mempromosikan produk semata-mata.

“Atlet ini adalah orang yang paling berfikiran positif dan efisyen, seseorang yang dihormati. Ramai orang kenal atlet, tetapi kita hanya selalunya mengunakan artis, dan terlupa tentang atlet (untuk kerja-kerja kebajikan).

“Ini harus diubah,” katanya kepada Malaysiakini.

Memetik nama beberapa atlet yang menarik perhatiannya seperti atlet renang Pandelela Rinong dan atlet berbasikal Azizulhasni Awang, katanya, atlet dalam bidang sukan berbeza cuba menyasarkan kumpulan masyarakat yang berbeza.

Malah, kongsi Syed Azmi, gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi sendiri pernah merakamkan video ucapan buat penghuni rumah transit remaja hamil yang dikendalikannya, bagi memberikan mereka semangat untuk meneruskan kehidupan.

“Dia buat rakaman video untuk mereka, berkata kepada mereka supaya jangan mengalah, bahawa tidak mengapa jika mereka telah melakukan kesilapan.

“[...] Saya betul-betul mahu capai ini (memanfaatkan pengaruh atlet). Saya mahu mereka (atlet) tahu, bahawa mereka bukan setakat untuk sukan sahaja, mereka adalah ikon yang dilatin untuk tidak putus asa, sentiasa bekerja keras.

“Kita patut memanfaatkan mereka,” katanya lagi. 

Lihat Komen
ADS