Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Faizal: Kenapa Pandelela ungkit cerita lama salah laku seksual bekas jurulatih?
Diterbitkan:  Oct 25, 2021 10:15 PM
Dikemaskini: Oct 26, 2021 12:36 AM

Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu mempersoalkan mengapa atlet terjun negara Pandelela Rinong membangkitkan isu salah laku seksual oleh bekas jurulatihnya yang telah lama berlaku.

“Saya hanya nak faham keseluruhan senario, kenapa tiba-tiba, setelah sekian lama, Lela (Pandelela) keluar kenyataan melalui sosial media beliau,” soalnya lapor portal Free Malaysia Today.

Faizal juga berkata dia bertemu dengan beberapa atlet negara berhubung kenyataan Pandelela itu untuk mendapatkan gambaran sebenar situasi tersebut.

“Saya dah mula buat panggilan-panggilan secara peribadi sebagai menteri dan saya juga dah berjumpa dengan beberapa atlet tentang perkara ini jadi tak sesuai untuk saya hebahkan lagi perkara ini buat masa sekarang,” katanya.

Katanya, dia juga akan menghubungi Khairy Jamaluddin yang merupakan menteri belia dan sukan sewaktu kes itu berlaku.

Pada masa sama, Faizal menggesa agar semua pihak terutamanya atlet negara segera melaporkan kepada pihak berkuasa atau ibu bapa mereka sekiranya terdapat salak laku seksual terhadap mereka.

“Bukan saja jenaka lucah, lawak kotor pun kita tidak boleh terima yang mana kita anggap sebagai ‘harrasment’. Inikan pula berlaku perkara melebihi daripada itu, tentunya kita mesti tolak.

“Segera laporkan kepada ibu bapa atau jurulatih atau pihak berkuasa sekiranya berlaku percakapan tidak sesuai, sentuhan tidak sesuai antara jurulatih atau rakan sebaya,” katanya.

“Jangan berdiam diri kerana ini adalah satu kesalahan jenayah yang kita kena sama-sama perangi,” katanya.

Pada 21 Okt lalu, ratu terjun negara itu mendedahkan terdapat jurulatihnya yang gemar membuat lawak lucah dan kemudian berakhir dengan kes rogol.

“Dulu saya ada seorang coach ni suka buat lawak lucah, saya buat diam je tak pun fake laugh (gelak buat-buat) sebab takut dia.

“Pernah sekali tak tahan saya tegur dia, tapi kena buli balik.

“Tujuh tahun kemudian dia buat kes rogol,” katanya di Twitter yang menggunakan tanda pagar #rapejokeisnotfunny, bermaksud lawak rogol tidak lucu.

Kenyatannya itu hadir selepas klip video menampilkan pelakon Fauzi Nawawi menceritakan pengalamannya melakonkan babak rogol dengan pelakon Raja Farah Raja Aziz tular di media sosial.

Fauzi kemudian memohon maaf atas kenyataannya itu.

Sebagai respons balas kepada Faizal, Khairy telah mengucapkan terima kasih kepada Pandelela kerana berani bersuara.

Dia berkata masih terdapat wartawan sukan yang mempersoalkan keputusannya untuk "menggegarkan sukan terjun Malaysia" berdasarkan tuduhan itu beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, Khairy berkata dia tidak menyesal kerana keselamatan atlet lebih diutamakan daripada hanya memenangi pingat sepanjang masa.

Sementara itu, pada Jumaat lalu, Timbalan Menteri Ti Lian Ker berkata perkhidmatan jurulatih itu telah ditamatkan serta-merta, manakala ketua jurulatih yang dituduh menutup salah laku itu tidak disambung kontraknya.

Dia juga memberi jaminan bahawa mangsa salah laku seksual akan diberi perlindungan yang sewajarnya apabila mereka tampil membuat aduan.

Lihat Komen
ADS