mk-logo
Seni & Hiburan
Fauzi rasa jahil, mohon maaf lepas cerita adegan rogol tular
Diterbitkan:  Oct 20, 2021 2:25 PM
Dikemaskini: 6:26 AM

Susulan muncul kembali klip video dia menceritakan pengalaman ‘merogol’ Raja Farah hingga tular di Twitter, Fauzi Nawawi hari ini tampil memohon maaf secara terbuka kepada aktres itu dan suaminya.

Menurut pelakon itu, dia tidak mengetahui tujuan video berkenaan berlegar di media sosial kerana program tersebut sudah lama ditayangkan dan baru kini dihebohkan semula.

“Program tu dah ditayang lama baru kini dihebohkan kembali. Saya tak tahu apa tujuannya. Saya mohon maaf pada yang terkesan khususnya Raja Farah dan suami.

“Saya mengaku salah saya yang jahil dan perlu perbaiki diri untuk jadi lebih baik,” katanya melalui Instagram miliknya malam tadi.

Dakwa pemilik nama penuh Mohd Fauzi Mohd Nawawi itu, sebelum rakaman berkenaan disiarkan untuk khalayak, dia terlebih dulu sudah meminta pihak produksi memotong bahagian yang tidak wajar dipertontonkan.

“Ia ditayang selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama, habis rakaman, saya minta pihak produksi agar potong mana-mana bahagian sensitif.

“Semasa bersembang antara lelaki, memang salah saya sebab terlepas cakap nama Raja Farah. Malangnya program tu dah ditayangkan dua kali,” katanya.

Beri kesan, mengaibkan

Terdahulu, dalam program terbabit, Fauzi diminta untuk menceritakan babak yang paling terkesan buatnya sebagai pelakon sepanjang pembabitannya dalam karier seni.

Dalam wawancara itu, dia menyebut lakonannya dalam Anak Halal bersama Raja Farah dan babak kegemaran ialah melakonkan adegan rogol disebabkan wajahnya yang sinonim dengan karakter jahat.

Selain itu, kata Fauzi, 48, babak tersebut juga terpaksa dipotong atas permintaan ibu bapa Raja Farah.

Rakaman yang terlebih dulu tular di TikTok itu mendapat pelbagai respon daripada netizen. Ada segelintir pihak menyatakan mereka tidak selesa apabila adegan itu diceritakan kembali kepada umum - secara terperinci - oleh Fauzi.

Fauzi yang juga pelakon Munafik 2, itu berkata, akibat video yang kembali ditularkan, akaun media sosialnya dihujani pelbagai mesej mengandungi kata-kata kesat oleh netizen.

Namun, katanya, dia menerima dengan rela hati dan enggan memanjangkan lagi perkara tersebut.

Sementara itu, pemilik nama penuh Raja Farah Raja Aziz beranggapan, apabila seorang pelakon lelaki secara terbuka membicarakan pengalamannya melakonkan watak sebagai perogol dan menyebut namanya, individu terbabit dilihat tidak menjaga kehormatan dirinya sebagai wanita.

Raja Farah, 33, berkata perkara tersebut tidak sepatutnya diperkatakan apatah lagi secara umum kerana ia memberi kesan kepadanya selain dianggap mengaibkan.

“Saya sangat terkesan.Terasa dibuka aib dan rasa macam tidak dihormati. Sebagai seorang isteri, tentunya saya akan pergi kepada suami untuk bertanyakan pendapat kerana begitu ramai yang minta saya respons terhadap isu ini.

“Saya pun tak nak ada perbalahan. Jangan pula ada pihak yang mahu memburukkan keadaan. Kami berlapang dada.

“Mungkin pihak yang berkata-kata itu boleh buat permohonan maaf walau tak secara terbuka pun tak apa. Kita faham, ia normal sebagai manusia kita akan ada tersalah kata dan sebagainya,” katanya di Instagram.

Selain Raja Farah, melalui kenyataan dalam video di Instagram itu, suaminya, Iskandar Ismail turut meluahkan rasa kecewa akibat perbuatan pelakon lelaki tersebut yang dianggap tidak sepatutnya dilakukan.

Lihat Komen
ADS