Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Ibu berang cubaan guru tukar agama anak atas alasan karier sukan

NOTA EDITOR: Laporan ini dipinda sedikit untuk menggambarkan bahawa kenyataan berkaitan kemasukan ke stadium itu sebenarnya dibuat oleh rakan pelajar terbabit, bukannya guru.

Seorang guru didakwa menggalakkan seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Kuala Lumpur untuk memeluk Islam, dengan mendakwa ia akan meningkatkan peluangnya untuk menjadi pemain bola sepak kebangsaan.

Ibu bapa pelajar berkenaan telah membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Ketua Polis Daerah Cheras Zam Halim Jamaluddin memberitahu Malaysiakini bahawa siasatan sedang dijalankan.

Ibu pelajar tersebut, yang hanya mahu dikenali sebagai "Vasan", mendakwa anak lelakinya yang berusia 15 tahun diberitahu oleh rakannya - melalui kumpulan WhatsApp - bahawa di negara ini hanya orang Islam dibenarkan masuk ke stadium.

Dia mendapat tahu perkara itu pada 3 Feb apabila anaknya menunjukkan kepadanya mesej dalam kumpulan WhatsApp kelas yang dibuat oleh guru terbabit.

“Apabila saya meneliti mesej itu, saya perasan bahawa cikgu tersebut beritahu anak saya sekiranya dia ingin menyertai pasukan kebangsaan, dia perlu beragama Islam.

“Dia kemudian menggalakkan anak saya menukar agama malah mencadangkan nama Islam.

“Apa yang paling membingungkan saya ialah guru itu berkata hanya orang Islam dibenarkan masuk ke stadium di Malaysia,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya hari ini

Menurut Vasan, dia dan suaminya yang turut hadir cuba menghubungi guru berkenaan untuk mendapatkan penjelasan mengenai mesej tersebut namun dia telah menyekat nombor mereka.

Vasan mendakwa anaknya mendedahkan bahawa guru itu telah bercakap kepadanya tentang Islam sejak enam bulan lalu.

Vasan berkata, anaknya bimbang dia akan disingkirkan daripada pasukan sekolah atau diberi gred rendah jika laporan polis dibuat.

Turut mengiringi ibu bapa tersebut ialah pengerusi Persatuan Agamam Ani Hindu Malaysia Arun Dorasamy.

“Saya tidak tahu apa niat guru itu tetapi apa pun, apa saja yang dia katakan atau lakukan kepada pelajar tersebut bertentangan dengan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan (yang menjamin kebebasan beragama).

"Dalam kes ini, budak lelaki itu masih di bawah umur, jadi cubaan menukar agamanya tanpa kebenaran ibu bapanya adalah melanggar perlembagaan dan menyalahi undang-undang," katanya.

Arun turut mengulangi permintaan ibu bapa itu agar Kementerian Pendidikan menyiasat guru berkenaan.

Malaysiakini telah menghubungi sekolah itu untuk maklum balas berhubung dakwaan itu, serta dakwaan tambahan Vasan dan Arun yang mengatakan bahawa pelajar-pelajar diasingkan mengikut agama mereka.

[Baca berita asal]

ADS