Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Cemar Syawal: PAS bantah konsert Selena Gomez
Diterbitkan:  Jul 18, 2016 4:28 PM
Dikemaskini: Jul 19, 2016 4:47 AM

Pemuda PAS hari ini menyuarakan bantahan terhadap penganjuran konsert penyanyi, Selena Gomez yang dianggap mencemarkan kemuliaan Syawal.

Pengerusi Lajnah Dakwah Pemuda PAS, Hafez Sabri berkata, pihaknya terkilan kerana pihak berkuasa memberi kebenaran kepada penganjur untuk mengadakan konsert tersebut yang dijadual berlangsung pada 25 Julai di Stadium Malawati, Shah Alam.

“Kemunculan artis kelahiran Amerika yang sinonim dengan penampilan seksi itu dianggap mencemarkan kemuliaan Syawal yang masih diraikan dengan penuh kesyukuran dan keinsafan oleh umat Islam.

“Kedatangan Selena Gomez dianggap menghidupkan budaya hedonisme dalam kalangan generasi muda di negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Pemuda PAS menyuarakan harapan agar Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) turut menyatakan bantahan secara rasmi bagi menyekat kehadiran penyanyi 'Same Old Love' itu.

Sekiranya konsert 'Selena Gomez The Revival Tour' itu diteruskan, ia dipercayai boleh merosakkan akidah, ibadah dan umat Islam khususnya generasi muda, jelasnya.

Justeru, Pemuda PAS menggesa kerajaan atau pihak berkuasa untuk mengambil langkah tegas dan sewajarnya sebelum meluluskan sesuatu penganjuran konsert yang dikhuatiri tidak mendatangkan faedah.

“Kerajaan sepatutnya merujuk dan menguat kuasakan Garis Panduan Hiburan diterbitkan Jabatan Agama dan Kemajuan Islam selain diperakukan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada tahun lalu untuk sebarang aktiviti penganjuran konsert.

“Pemuda PAS membantah penganjuran konsert seperti ini kerana adalah menjadi keutamaan dan tanggungjawab kami untuk memastikan tidak wujud unsur-unsur yang boleh merosakkan generasi muda Malaysia,” katanya.

Lihat Komen
ADS