Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dituduh rampas isteri orang, Adi: Biarlah tuhan saja tahu

Pelakon Adi Putra hari ini tampil mempertahankan dirinya selepas dia didakwa menjadi perampas isteri orang.

Muncul di sidang media di sebuah restoran sebentar tadi Adi Putra berkata perkahwinan keduanya bukan menjadi alasan untuk dia digelar sebagai perampas.

Malah kata Adi Putra sepanjang tempoh perkenalan dengan isteri keduanya itu dia maklum tentang status wanita berkenaan.

"Saya bukan perampas isteri sesiapa, tetapi ada yang mengandaikan begitu dan ia hak masing-masing. Siapa yang nak jadi jahat dan perampas?

"Ada juga yang kata saya suka (wanita) jenis isteri orang. Saya akan lalui semua ini dengan tenang dan memaafkan mereka yang menggelar saya perampas," katanya.

Perkahwinan kedua dan mengejut Adi Putra menjadi viral dan mencetuskan kontroversi sejak 16 Julai lalu.

Ekoran insiden itu, Adi Putra secara mengejut membatalkan sambutan hari raya dan ulang tahun kelahirannya bersama peminat yang sepatutnya diadakan pada 17 Julai lalu.

Dalam sidang medianya tadi Adi Putra mengesahkan dia bernikah dengan isteri keduanya itu - dipercayai seorang pegawai jabatan imigresen - pada 20 Jun lalu.

Pernikahan itu berlangsung di rumah keluarga perempuan namun tidak dinyatakan lokasinya.

Kata Adi Putra, dia berkenalan dengan wanita terbabit selama kira-kira tujuh atau lapan bulan sebelum mereka akhirnya dinikahkan.

Katanya tempoh lebih kurang sama juga diambil sebelum dia menikahi isteri pertama Aida Yusof.

Bukan kerana zuriat, perniagaan

Kata Adi Putra, biar apa pun penafian yang diberikan olehnya, di mata umum dia tetap seperti seorang pesalah.

"Ya saya keluar dengannya (isteri kedua) ketika dia masih isteri orang tetapi biarlah tujuan keluar itu Tuhan saja yang tahu.

"Bila kita dikelilingi perkara begini mudah menjadikan ia sebab (kepada pelbagai andaian) dan tuan punya badan juga tahu alasan kami keluar bersama," katanya.

Adi turut menolak jika didakwa bernikah kali kedua kerana menginginkan zuriat.

"Zuriat adalah anugerah Allah. Kalaulah semudah itu untuk memperolehnya (zuriat), mungkin senang didapati, seperti menghantar kereta ke bengkel," katanya.

Mengenai Aida dan isu zuriat, Adi Putra berkata dia tidak menghadapi sebarang perselisihan kerana kedua-duanya faham persoalan berkenaan adalah di luar kawalan mereka.

Menurut Adi Putra, keputusan berkahwin lagi juga bukan atas pertimbangan perniagaan.

Ditanya sama ada Aida maklum mengenai perkahwinan berkenaan, Adi Putra menjawab: "Ya."

Namun kata Adi Putra, isterinya memberitahu media dia tidak tahu kerana memberi ruang kepada dirinya untuk membuat penjelasan.

"Saya hormati dan bangga kerana Aida memberi laluan kepada saya untuk tampil membuat penjelasan sendiri," katanya.

Adi Putra berkata dia tidak berniat merahsiakan perkahwinan kedua itu dan tidak pula cuba menegakkan benang basah selepas gambar pernikahan mereka tersebar.

Sikap berdiam diri terhadap isu yang mencetuskan kontroversi itu pula, katanya, bersebab.

"Langsung tidak terlintas di fikiran saya untuk menyimpan rahsia mengenai perkara ini kerana sebagai seorang artis, umum tetap mengambil tahu malah kebenaran akan terbongkar akhirnya.

"Tujuan tidak berkongsi berita itu pada awalnya kerana sebagai ketua keluarga saya mahu menjalankan tanggungjawab dan membawa keluarga bercuti ke luar negara terlebih dulu.

"Bayangkan kalau nak pergi bercuti dan terpaksa menjawab isu ini, ia akan mengganggu.

"Tetapi sebelum sempat saya berkongsi berita itu, ia telah tersebar terlebih dahulu," katanya.

Adi Putra dan Aida bernikah pada 14 April 2006 dan pernah memfailkan cerai pada 11 Mei 2012 tetapi kemudian membatalkan keputusan berkenaan.

Lihat Komen
ADS