Selepas seorang ulama mendakwa bahawa percubaan untuk menjatuhkan kerajaan yang adil adalah haram bagi mempertahankan pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim, penasihat agama Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengemukakan pandangan yang nyata berbeza.

Khairuddin Aman Razali berhujah bahawa pertukaran kerajaan menerusi proses demokrasi tidak melanggar prinsip Islam.

Ahmad Zahid bukan asing dengan dinamika pergerakan politik dan pertukaran kerajaan. Dia berperanan penting dalam menumbangkan pentadbiran PH pada 2020 dan kemudiannya membantu menyingkatkan tempoh jawatan presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Hari ini, dia memimpin Umno yang bersama dalam pakatan persekutuan yang serba kekok dengan PH pimpinan Anwar, walaupun kedua-dua kem politik itu bertanding di pihak yang bertentangan dalam beberapa pilihan raya negeri.

Anwar sendiri tidak asing dengan percubaan menukar kerajaan menerusi percaturan politik. Pada 2008, dia mengetuai rancangan yang dikenali sebagai pelan 16 September, bertujuan memujuk beberapa anggota parlimen daripada gabungan pemerintah untuk berpaling tadah dan membawa kepada pertukaran kerajaan.

Dalam satu hantaran di Facebook, Khairuddin Aman berkata mandat yang diberikan kepada mana-mana kerajaan yang dibentuk melalui pilihan raya berakhir apabila Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

Justeru, dia menjelaskan bahawa berkempen oleh parti lawan atau pembangkang terhadap kerajaan sedia ada tidak boleh disamakan dengan penderhakaan seperti kaum Khawarij pada zaman Sayyidina Ali, sebaliknya ia merupakan satu amalan yang berasaskan hukum Syarak, dijalankan menerusi proses demokrasi moden untuk memilih ketua kerajaan.

“Sebarang usaha kempen tidak boleh dijenamakan sebagai ‘menjatuhkan kerajaan’ secara tidak syarie sehingga diletakkan hukum haram kecuali jika diiringi dengan senjata memberontak terhadap ketua dan pemerintah negara iaitu Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja pemerintah negeri,” tambahnya.

Khairuddin Aman mengulas kenyataan Syeikh Wazir Che Awang al-Makki selepas ulama terkenal asal Kelantan itu menegaskan bahawa haram untuk mana-mana pihak menjatuhkan kerajaan yang adil.

Berucap di hadapan Anwar dan kepimpinan kerajaan Kelantan di Kota Bharu, Syeikh Wazir yang juga penasihat Persatuan Institusi Pondok Kelantan, berkata pihak yang berusaha menjatuhkan pemerintahan yang adil adalah bersifat Khawarij – merujuk kepada golongan yang berpegang pada fahaman ekstrem, termasuk mudah mengkafirkan sesama Islam hanya kerana berbeza pendirian.

Mengulas lanjut hujah itu, penasihat Ahmad Zahid berkata kerajaan yang dipimpin oleh perdana menteri, menteri besar atau ketua menteri juga boleh dijatuhkan menerusi usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri, sebelum perkara itu dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu atau Yang di-Pertua Negeri.

“Ia juga satu proses demokrasi yang selaras dengan Syarak dan bukannya satu pemberontakan ala Khawarij atau menjatuhkan kerajaan yang dihukum sebagai haram.

“Malah kritikan-kritikan oleh parti pembangkang terhadap kerajaan semasa dan kempen untuk menukar kerajaan menurut lunas demokrasi adalah dikategorikan dalam Amar Ma'ruf Nahi Mungkar dengan syarat tidak mengangkat senjata memberontak sebagaimana sabit dalam Hadis Muslim,” katanya.

Mengenai soal kriteria kerajaan yang adil, Khairuddin Aman berkata penilaian tersebut pada hakikatnya bersifat subjektif yang boleh dinilai dalam konteks persaingan demokrasi yang menawarkan polisi yang lebih baik berbanding yang baik atau berbanding polisi yang memudaratkan rakyat.

“Setiap satu tindakan kerajaan perlu dinilai secara objektif daripada neraca keadilan dan kezaliman menurut Islam dan dilaksanakan padanya Amar Makruf Nahi Mungkar menerusi lunas demokrasi tanpa diletakkan hukum secara general pada sesebuah kerajaan samada adil atau zalim.

“Hari ini semua parti dalam negara sedang menikmati nikmat berkerajaan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri. Sesebuah parti mungkin pembangkang peringkat Pusat tetapi menjadi kerajaan peringkat negeri. Demikianlah demokrasi membenarkan kerajaan bersilih ganti,” katanya.

Pada masa yang sama, Khairuddin Aman menyeru ahli politik untuk menjaga akhlak Islam dengan tidak memaki hamun dan mencipta persepsi buruk terhadap individu dan melakukan adu domba serta fitnah mereka-reka cerita sehingga memecahkan masyarakat dan merosak persaudaraan Islam demi mencapai matlamat berpolitik untuk berkuasa.

Tindakan sedemikian, katanya, hanya akan memburukkan perpecahan dalam kalangan masyarakat dan merosakkan ukhuwah Islamiah semata-mata demi mengejar kuasa.

“Itulah bunga-bunga Khawarij dalam berpolitik yang mesti sentiasa ditegur.

“Kita perlu menyuburkan demokrasi dengan semak dan imbang terhadap kerajaan oleh rakyat. Dokongan pada perkara baik dan teguran pada perkara yang buruk adalah selari dengan konsep Amar Ma'ruf Nahi Mungkar dalam politik Islam,” katanya lagi.