Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Artis ketawakan aksi Jamal bertuala
Diterbitkan:  Dec 22, 2016 3:14 PM
â‹…
Dikemaskini: 7:21 AM

Bukan orang biasa atau ahli politik saja yang melihat aksi Datuk Seri Jamal Md Yunos 'beraksi' dengan tuala di luar bangunan pusat pentadbiran kerajaan Selangor di Shah Alam semalam.

Begitu ramai pengguna yang berdepan kesulitan akibat bekalan air terganggu namun seorang Jamal muncul di luar bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah untuk meminta kebenaran "mandi" di pejabat menteri besar.

Aksi itu menjadi tular dan mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk kemunculan pelbagai imej diubah suai.

Di kalangan selebriti, mereka juga tidak terkecuali.

Penyanyi Faizal Tahir misalnya tertarik kepada gambar Ketua Umno Sungai Besar itu yang disunting seolah-olah menjadi muka depan senaskhah buku panduan mandi wajib.

Bersama-sama gambar itu Faizal menulis catatan berbentuk sindiran.

“Dengar orang kata buku ni bagus. Abang Jamallullair Tadaq kita penulisnya. Sapa (siapa) da baca bg (bagi) la review (ulasan) sikit,” tulis penyanyi Gemuruh itu.

Jamal tiba di luar bangunan kerajaan negeri di Shah Alam bersama lebih 10 penyokong kira-kira jam 9.45 pagi sebagai protes 'kegagalan' kerajaan Selangor mengurus bekalan air di negeri berkenaan.

Bagaimanapun, Jamal dan penyokongnya hanya mampu menunggu di luar pintu utama selepas dihalang daripada memasuki premis berkenaan.

Sebanyak 814 kawasan di Lembah Klang menghadapi gangguan bekalan air berikutan kerja-kerja penyelenggaraan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di stesen Bukit Badong, Hulu Selangor. Kerja itu dijangka tamat sepenuhnya 24 Disember ini.

Gangguan itu melibatkan 707,759 akaun di 814 kawasan di sekitar Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Langat, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Lumpur.

Seorang lagi artis yang tertarik dengan aksi Jamal ialah Yasin Sulaiman.

 

Penyanyi yang popular dengan lagu Mimpi Laila itu juga memuat naik gambar Jamal bertuala putih tanpa suntingan sedang berdiri di pintu utama bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

“Dah 4 hari tak mandi. Mintak jasa baik MB tumpang mandi kat opis SUK,” katanya.

Status itu turut disertai hashtag #lol - bermaksud "laughing out loud".

Penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza Tarudin turut tidak ketinggalan apabila mengulang semula status digunakan Yasin.

Walaupun kata-kata Siti tidak selantang orang lain, penyanyi Jaga Dia Untukku itu memberi nasihat kepada pengikut akaun media sosialnya.

“Jangan jadi macam jamal ye.. #kawasansayapuntakdeair #dapatnotis #sediatongair #fahambahasa,” katanya.

Lihat Komen
ADS