Tambah kerusi Sabah, Sarawak: Jangan terjun gaung dengan Anwar, pesan PAS
PAS menyifatkan janji tambahan kerusi parlimen untuk Sabah dan Sarawak oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai satu "lakonan bermutu tinggi".
Ketua penerangannya Ahmad Fadhli Shaari berkata pengumuman itu membuatkan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dan Premier Sarawak Abang Johari Abang Openg tersenyum lebar mendengar janji itu.
Bagaimanapun dia berharap pemimpin berkenaan tidak mudah terpedaya dengan janji Anwar.
“Tambahan kerusi itu satu perkara yang bagus dan praktikal. Tetapi ia memerlukan pindaan perlembagaan dengan dua pertiga suara majoriti di Parlimen.
“Tanpa rundingan untuk pertambahan juga di banyak lokasi di Semenanjung, adakah anda fikir ia akan lulus dengan mudah? Jika PN dan BN mengambil sikap tidak menyokong, adakah ia boleh lulus?” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jumaat lalu, Putrajaya dilaporkan bersetuju meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan jumlah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak ditambah kepada nisbah baru yang lebih tinggi berbanding jumlah perwakilan ketika ini.
Anwar berkata perkara itu antara keputusan utama Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikannya selepas ia dipersetujui jemaah menteri sebelum ini.
Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, kali terakhir persempadanan pilihan raya dibuat ialah pada tahun 2018, manakala rundingan dan sesi libat urus oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersama pemegang-pemegang taruh bermula sejurus selepas PRU 2013.
Katanya, bermula daripada sempadan baru bahkan nama Parlimen dan DUN pun dirunding pada masa itu dengan parti-parti yang terlibat.
“Adakah anda rasa janji untuk menambah kerusi parlimen ini boleh dilaksanakan sebelum PRU ke-16 tanpa sebarang rundingan dibuat oleh SPR bersama pemegang-pemegang taruh? Ia bukan mudah dan bukan kerja sebulan dua.
“Pertambahan kerusi parlimen ini perlu, kita akui. Tetapi ia bukan sahaja di Sabah dan Sarawak, bahkan di Semenanjung.
“Lebih kritikal lagi ialah di kerusi-kerusi negeri-negeri Pantai Timur atau ‘malay belt area’ yang mana ketika pertambahan kerusi untuk PRU 2004, negeri-negeri ini tidak menikmati pertambahan kerusi sebagaimana Pantai Barat,” katanya.
Fadhli menyifatkan perkara itu adalah janji yang manis tetapi tidak praktikal untuk masa sekarang.
“PRU ke-16 16 akan berlaku dalam tempoh setahun sahaja lagi, Sabah dan Sarawak jangan mudah tertipu dengan lakonan ini.
“Tujuan sebenar janji ini ialah untuk memastikan Sabah Sarawak terus menyokong kerajaan Madani jika BN mengambil sikap untuk keluar dari kerajaan.
“Jika itu berlaku, kerajaan Madani boleh bertahan dengan majoriti tipis tetapi untuk meminda perlembagaan dan menambah kerusi parlimen, ia tidak akan berlaku jika tiada perundingan. PAS tiada masalah untuk setuju jika pertambahan kerusi ini adil untuk semua dan melalui perbincangan yang sepatutnya,” jelasnya sambil berpesan supaya dua negeri itu tidak tersilap langkah.
“Menyokong kerajaan Madani PMX pada hari ini boleh jadi dapat untung sehari dua, tetapi tidak dalam jangka masa yang panjang.
“PMX akan jadi XPM tidak lama lagi Insya-Allah. Jangan biarkan dia bawa anda terjun gaung bersama-sama,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, analisis ketaksamaan saiz kerusi (malapportionment) di Semenanjung mengikut electiondata.my menunjukkan bahawa walaupun terdapat isu ketaksamaan saiz kerusi di Pantai Timur, ia kebanyakannya melibatkan kerusi yang terlebih diwakili ( (over-represented) - bermaksud kerusi yang mempunyai bilangan pengundi yang lebih kurang berbanding purata di Semenanjung.
Terdapat 11 daripada 14 kerusi Parlimen yang terlebih diwakili di Pahang, empat daripada 14 kerusi di Kelantan, dan dua daripada lapan kerusi di Terengganu.
Selain itu, lapan daripada 14 kerusi di Kelantan dan empat daripada lapan kerusi di Terengganu dianggap "seimbang".
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/07/6adce068a4df92945008b8953e7c75ac.jpg)
