Tidak sampai 24 jam selepas cabaran dilontarkan dari Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur semalam, hari ini pemuka PN dan PAS memberikan reaksi tegas.

Ketua Penerangan PN merangkap anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Annuar Musa, menjawab kenyataan dibuat orang nombor dua Umno terkait keikhlasan mereka petang semalam.

Annuar – yang juga bekas Setiausaha Agung Umno dan BN – secara berlapik berkata adalah lebih baik jika Umno mencermin diri untuk melihat apa formula yang pernah mereka gunakan dalam politik.

"...aku nak tengok apa formula kau nak pakai di.....?

“Elok juga kamu lihat apa formula yang kamu dah pakai. Kita okay saja,” katanya di media sosial hari ini.

Petang semalam Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, mencadangkan kepada presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi, agar suatu ujian dilaksanakan sebagai langkah mengukur keikhlasan PAS.

Cadangan itu dikemukakannya semasa Mohamad menggulung perbahasan pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026.

Dalam ucapannya Mohamad berkata PAS-PN wajar membubarkan mana-mana DUN mereka – sama ada Kedah, Perlis, Kelantan atau Terengganu – dan bolehlah dilihat bagaimana kedua-dua parti berpakat dalam pembahagian kerusi.

Sebelum ini, kata Mohamad, Umno-BN sudah menunjukkan keikhlasannya dengan bekerjasama dengan PAS di Johor dan Negeri Sembilan.

Mohamad mencadangkan agar PRN di negeri PAS-PN itu diadakan selepas PRN Melaka selesai.

"Lepas Melaka esok, kita cuba (uji) pula sejauh mana keikhlasan kawan kita. Kita minta salah satu daripada negeri SG4 tersebut buat pilihan raya.

"Kau buat pilihan raya, aku nak tengok apa formula kau pakai, kan?

“(Misalnya) Buat di Terengganu, macam mana? Tunjuklah kalau ikhlas sama-sama,” katanya.

Untuk rekod, di empat negeri ditadbir PAS-PN itu, secara keseluruhan terdapat 128 kerusi melibatkan 15 di Perlis, 36 di Kedah, 45 di Kelantan dan 32 di Terengganu.

Daripada jumlah keseluruhan itu, keberadaan Umno-BN hanya ada dua iaitu di Kelantan berbanding 116 oleh PAS-PN. PH pula mempunyai lima wakil iaitu tiga di Kedah, dan satu masing-masing di Perlis dan Kelantan.

Tiga lagi kerusi adalah kosong, dan baki dua diwakili Adun bebas.