Bersih 'penipuan terbesar' politik Malaysia, kata Pemuda MIC
Ketua Pemuda MIC, Arvind Krishnan mendakwa gerakan gabungan pendesak pilihan raya bersih dan adi, Bersih merupakan "penipuan terbesar" dalam politik Malaysia, dengan menuduh bekas pemimpin gerakan itu berdiam diri terhadap kerajaan Pakatan Harapan selepas kejatuhan BN.
Berucap pada Konvensyen Pemuda MIC Selangor, Arvind berkata Bersih pernah menjadi gerakan yang konsisten dan lantang menentang kerajaan BN, sehingga berjaya menghimpunkan ratusan ribu rakyat turun ke jalan raya bagi menuntut reformasi.
Katanya, Bersih merupakan salah satu faktor utama yang mendorong rakyat beralih sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) sekali gus menyebabkan kejatuhan kerajaan BN.
"Bersih konsisten dan gigih semasa pemerintahan BN. Mereka membawa beberapa tuntutan, mahu reformasi segera dilaksanakan. Mereka turun ke lapangan, dan rakyat percayakan mereka.
"Ia bukan sekadar seribu, dua ribu orang, tetapi ratusan ribu rakyat turun ke jalanan membantah.
"Tetapi kenapa mereka tidak mempersoalkan kerajaan ini hari ini? Di mana mereka? Apa jadi dengan Maria Chin Abdullah? Apa jadi dengan Ambiga (Sreenevasan)?
"Kenapa mereka tidak berdiri di depan pintu rumah perdana menteri atau mana-mana menteri lain sekarang?" soalnya.
Bagaimanapun, rekod menunjukkan Bersih tidak sepenuhnya senyap terhadap kerajaan PH.
Pada November 2023, jawatankuasa pemandu Bersih mengeluarkan kenyataan mengkritik kelewatan kerajaan Anwar melaksanakan reformasi yang dijanjikan, dengan menyifatkan kemajuannya sebagai amat perlahan.
Bersih turut mendakwa dua janji reformasi dana pembangunan kawasan (CDF) yang saksama tanpa mengira status kerajaan atau pembangkang, serta pemansuhan akta seperti Akta Hasutan dan Sosma telah dimungkiri kerajaan perpaduan itu.
Di bawah pimpinan pengerusi baru, Muhammad Faisal Abdul Aziz, Bersih turut menyuarakan kebimbangan mengenai kes discaj tanpa pembebasan (DNAA) yang diberikan kepada beberapa ahli politik yang pernah dituduh rasuah, termasuk bekas perdana menteri Najib Razak.
/file/1164/eca71a76c52439447e7ec424010ea195.jpeg)
Sementara Ambiga, yang tidak lagi bergiat aktif dalam Bersih, pada 2024 menyifatkan kerajaan semasa sebagai "kerajaan paling diktator yang pernah kita ada" sebagai mengkritik undang-undang pelesenan baru bagi pengendali media sosial.
Maria Chin pula pada Mei lalu menyelar Ketua Pemuda PKR (AMK) Kamil Munim yang menggesa pihak berkuasa menyiasat pertubuhan masyarakat sivil (CSO) atas dakwaan menerima dana asing untuk menjatuhkan kerajaan.
Mengulas lanjut, Arvind turut menyenaraikan beberapa siri perhimpunan Bersih dan mempersoalkan kesudahan tuntutan-tuntutan perhimpunan tersebut.
"Jika anda tanya saya hari ini, apa jadi dengan Blackout 505? Tiada siapa boleh jawab. Apa terjadi dengan bekas pengerusi Ambiga [Sreenevasan] dengan reformasi Bersih, dia pernah menyatakan mereka kecewa kerana reformasi ditangguhkan," katanya.
Arvind turut menyifatkan tindakan pemimpin Bersih sebagai mengecewakan generasi muda yang pernah mempercayai gerakan tersebut, dengan sebahagian daripada mereka turut kehilangan pekerjaan, mengalami kecederaan akibat gas pemedih mata.
"Sebagai seorang pemuda, saya rasa sungguh muak dengan sikap ini. Ramai anak muda yang percayakan mereka, turun ke jalanan, hilang pekerjaan. Saya kenal orang yang cedera akibat gas pemedih mata, cedera penglihatan mereka.
"Saya tanya sekali lagi, apa jadi dengan Blackout 505? Ada sesiapa boleh jawab? Adakah RCI diadakan untuknya? Kenapa tidak? Dahulu anda kata begitu, kan? Jadi apa jadi dengan Blackout 505? Sekarang anda kerajaan," katanya.
Siri perhimpunan "Blackout 505" diadakan selepas PRU13 pada 5 Mei 2013, mendakwa berlaku penipuan pilihan raya termasuk gangguan bekalan elektrik di pusat pengundian yang dikaitkan dengan kemunculan kotak undi tambahan selepas gangguan itu.
Dianjurkan oleh Pakatan Rakyat dan lebih 50 NGO ketika itu, siri perhimpunan itu menghimpunkan sehingga puluhan ribu peserta di seluruh negara sebelum berakhir pada pertengahan 2013 tanpa membawa kepada penyiasatan rasmi ke atas dakwaan penipuan tersebut.
Bagaimanapun, Arvind menegaskan kritikannya bukan ditujukan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
"Saya tidak menuding jari kepada perdana menteri. Biar saya jelaskan. Saya menuding jari kepada mereka yang membawa rakyat turun ke jalanan Ambiga, Maria Chin, dan semua ini. Mereka perlu bertanggungjawab," katanya.
Katanya, ramai golongan muda yang turut serta dalam perhimpunan-perhimpunan tersebut wajar mendapat penjelasan daripada bekas pemimpin gerakan itu.
Malaysiakini telah menghubungi pejabat Bersih untuk komen.
/file/attachments/orphans/arwin1_617226.jpg)
