Paling Popular
Terkini
story images
story images

Entah sudah berapa tahun sejak penyanyi era 1980-an, Ben Nathan, memotong rambutnya dan nampak benar-benar terurus.

Kini, Ben dikhabarkan sudah berubah.

Berkongsi perkembangan terbaru penyanyi Stanza Sepi Sekeping Hati itu, Presiden Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) Datuk DJ Dave, berkata rambut kusut masai dan janggut terbiar Ben sudah dibuang.

Katanya kepada Malaysiakini, Ben juga menunjukkan perkembangan positif selepas hampir sebulan menjalani rawatan di wad psikiatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Saya melawatnya di HKL semalam dan sangat gembira melihat keadaan Ben yang bertambah baik.

"Dia juga benar-benar tidak sabar hendak keluar untuk menjalani kehidupan baru," katanya.

Menurut DJ Dave, rawatan doktor yang menjaganya mula menunjukkan kesan baik.

“Saya berjaya memujuk Ben untuk memotong rambut dan janggutnya yang selama ini tidak boleh disentuh oleh sesiapa pun, dia kini kelihatan lebih kacak,” katanya dengan nada berseloroh.

Bagaimanapun DJ Dave enggan mendedahkan imej terbaru penyanyi berkenaan dan meminta peminat bersabar.

Ben atau nama penuhnya Ben Adam Patmanathan Abdullah, pernah hilang dari radar dunia hiburan tanpa khabar berita selama sembilan tahun sebelum ditemui DJ Dave awal Februari lalu.

Cari pihak boleh dipercayai

Sebelum itu, kelibat Ben yang suatu ketika dulu pernah memeriahkan pentas nyanyian, cuma dilihat merayau dengan baju lusuh di sekitar Kuala Lumpur.

Nasibnya mula menjadi perhatian apabila suatu rakaman video menjadi tular di media sosial.

Beberapa tahun kebelakangan ini, Ben sering dilihat di kawasan sekitar Pasar Seni, Muzium Negara, Brickfields, Masjid Jamek dan Ampang.

Ben kemudian dipujuk ke HKL bagi menjalani pemeriksaan agar memastikan kesihatan fizikal dan mentalnya dapat dipantau.

Bagi membantu Ben mendapat kehidupan lebih sempurna, DJ Dave berkata, beliau mempunyai beberapa rancangan yang bakal dilaksanakan pada tahun ini.

Antaranya, kata penyanyi Ingin Bersua itu, ialah menganjurkan konsert amal.

Dan antara yang bakal terlibat dalam persembahan itu nanti adalah Datuk Zainal Abidin, Datuk M Nasir selain DJ Dave sendiri.

Katanya, usaha itu tidak akan terhenti di situ saja, sebaliknya YA1M juga akan menentukan pihak yang boleh dipercayai untuk menguruskan dana daripada konsert berkenaan.

“Dalam konsert amal itu nanti kami akan menjual meja bagi mendapatkan dana sebelum diserahkan kepada keluarga Ben atau pihak yang sepatutnya.

“Demi memastikan kebajikan Ben terjamin, wang itu perlu dikawal agar tidak sampai ke tangan yang salah,” katanya.

Satu lagi fasa bantuan dirancang untuk Ben, kata DJ Dave, ialah melaksanakan hajat penyanyi itu yang mahu menjejakkan kaki ke Jakarta.

Ben sebelum ini selalu memberi bayangan ingin pergi ke Jakarta untuk merakam album baru.

“Insya-Allah kami akan buat rakaman di Jakarta sebab dia asyik berkata demikian. Saya nak tunaikanlah impian itu suatu hari nanti,” katanya.

Lihat Komen
ADS