Laporan: Farhash dapat injunksi terhadap Bloomberg, bekas bos SPRM kecewa
Ahli perniagaan, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, semalam memperoleh injunksi terhadap Bloomberg News bagi menghalang penerbitan satu laporan yang didakwanya berunsur fitnah.
Perkembangan itu berlaku ketika spekulasi terus mengaitkan bekas pembantu Anwar Ibrahim itu dengan skandal 'mafia korporat'. Dakwaan itu sudah dinafikannya.
Dipetik Berita Harian semalam, peguam yang mewakili Farhash dari firma guaman Messrs Ahmad Deniel, Ruben & Co, menyatakan draf artikel tersebut mengandungi kenyataan dan dakwaan yang menurut anak guam mereka adalah palsu, tidak berasas, dan berunsur fitnah.
Menurut portal berita itu, perintah injuksi tersebut dikeluarkan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Kan Weng Hin.
Bloomberg News dilaporkan telah menghubungi Farhash berhubung penulisan dan hasrat mereka untuk menerbitkan laporan tersebut sebelum tindakan undang-undang dimulakan.
"Susulan itu," kata firma guaman berkenaan, "mahkamah membenarkan permohonan injunksi bagi menghalang Bloomberg News dan semua pihak daripada menerbitkan, menerbitkan semula, mengedarkan atau menyebarkan kenyataan serta dakwaan berunsur fitnah yang dikenal pasti dalam prosiding itu, termasuk kenyataan seumpamanya berkaitan Farhash."
Walaupun Malaysiakini tidak mendedahkan perincian khusus kenyataan yang didakwa berunsur fitnah itu atas nasihat undang-undang, dokumen mahkamah menunjukkan ia secara amnya merangkumi pelbagai dakwaan - daripada pelantikan korporat, kontrak kerajaan, dan campur tangan politik, sehinggalah kepada dakwaan jenayah.
Semuanya dakwaan tersebut ditegaskan oleh plaintif sebagai palsu dan berunsur fitnah.
Sementara itu, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, menyifatkan injunksi tersebut sebagai sesuatu yang dikesali dan mengecewakan.
"Pihak media mesti bebas untuk melaporkan perkara yang berkepentingan awam, terutamanya apabila ia melibatkan dakwaan serius mengenai penyalahgunaan kuasa dan rasuah di peringkat tertinggi, yang turut mengaitkan perdana menteri sendiri.
"Jaminan kebebasan bersuara di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan merangkumi perlindungan terhadap kebebasan media.
"Adalah tidak wajar untuk kepentingan awam rakyat Malaysia jika Bloomberg News dibungkam dalam perkara ini; sama seperti tidak wajar bagi kepentingan kita jika media seperti Wall Street Journal dibungkam semasa skandal 1MDB berlaku," katanya kepada Malaysiakini.
Latheefa juga menyatakan harapan agar injunksi tersebut dapat dibatalkan.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/08/f0994cdf6126b54d95f5b5cc763ebb83.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.