Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Pusat (Malaysia) mengucapkan tahniah diatas kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama kelmarin yang mengumumkan penarikan keluar tentera Amerika Syarikat sejumlah 10,000 orang dari bumi Afghanistan.

Kami juga mengucapkan syabas kepada Obama yang mengakui bahawa, beliau mahu menebus kembali kesilapan yang telah dilakukan oleh Amerika Syarikat dengan campur tangan mereka sebelum beliau menjadi Presiden Amerika Syarikat dengan menghantar dan mengekalkan tentera Amerika Syarikat di Afghanistan.

Walaubagaimana pun, kami berharap, kenyataan Obama ini benar-benar dikotai serta ditunaikan  dan tidak hanya sekadar manis dibibir sahaja memandangkan Amerika Syarikat sedang mengalami tahap keyakinan yang sangat buruk sebelum ini samada didalam atau diluar negaranya sendiri.

Kami juga mendesak agar seluruh tentera Amerika perlu keluar terus ke dari bumi Afghanistan tanpa sebarang syarat dan berperingkat. Idea pentadbiran Washington untuk mengeluarkan tenteranya secara berperingkat dilihat mempunyai beberapa agenda tersembunyi yang meragukan.

Amerika juga perlu memastikan semua ikatan dan peraturan serta kepentingannya selama ini di Afghanistan perlu diserahkan kembali kepada rakyat Afghanistan untuk mereka uruskan sendiri.

Rakyat Afghanistan perlu diberi kepercayaan untuk merangka dan mentadbir negaranya sendiri. Kami yakin bahawa majoriti rakyat Afghanistan sudah muak dengan telunjuk Amerika yang didokong oleh Presiden mereka Hamid Karzai yang pro-Amerika.

Petunjuk yang diberikan oleh rakyatnya sendiri untuk kembali kepada sistem berasaskan Islam menjadi ‘bayang-bayang hitam’ buat kerajaan Karzai.

Dengan pengunduran tentera Amerika dari bumi Afghanistan, kami yakin satu landskap baru politik dunia di Asia Timur bakal menjelma dengan kebangkitan satu era kepimpinan yang lebih telus dan pragmatik.

Penulis adalah naib ketua/pengerusi lajnah antarabangsa Dewan Pemuda PAS.

ADS