Piala Fifa Asean: Macam Harimau Malaya lawan Belanda, kata MP Shah Alam
PARLIMEN | Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof menggesa jumlah pemain naturalisasi dalam pasukan bola sepak negara diteliti dan menyifatkan perlawanan menentang Indonesia pada Piala Asean Fifa baru-baru ini seperti berdepan pasukan Belanda.
Azli membangkitkan perkara itu ketika mencelah perbahasan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer mengenai pindaan Akta Pembangunan Sukan 1997 di Dewan Rakyat hari ini.
“Lawan Indonesia semasa Fifa Asean macam lawan Netherlands. Kita tak nak jadi macam itu juga, kemas sikit jumlah naturalised players (pemain naturalisasi),” katanya.
Dalam perlawanan di Stadium Bung Karno, Jakarta pada 28 Sept lalu, Indonesia dan Malaysia terikat tanpa jaringan meskipun skuad Garuda bermain dengan 10 pemain selepas Thom Haye dibuang padang pada separuh masa pertama.
Kesebelasan utama Indonesia menampilkan 10 pemain yang memperoleh kewarganegaraan melalui naturalisasi, antaranya penjaga gol Maarten Paes, kapten Kevin Diks, Haye, Calvin Verdonk dan penyerang Ole Romeny.
Seorang lagi pemain utama skuad itu, Elkan Baggott, dilaporkan memiliki kewarganegaraan melalui ibunya yang merupakan warga Indonesia dan tidak melalui proses naturalisasi.
Harimau Malaya pula menurunkan Bergson da Silva dan Manuel Hidalgo yang dilaporkan sebagai pemain naturalisasi, bersama enam pemain warisan: Brad Tapp, Dion Cools, Quentin Cheng, La’Vere Corbin-Ong, Stuart Wilkin dan Nooa Laine.
Tiga lagi pemain utama ialah Syihan Hazmi, Arif Aiman dan Faisal Halim.
Terdahulu, Rayer membangkitkan kontroversi pemalsuan dokumen melibatkan pemain dari luar negara yang dikaitkan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Saya ingin menegur kerajaan (apabila) baru-baru ini FAM terpalit dengan isu pemalsuan dokumen melibatkan pemain-pemain daripada luar negara dan insiden ini telah membawa satu kontroversi yang besar,” katanya.
Rayer mempersoalkan jika pindaan undang-undang yang dibahaskan dapat memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang, selepas Malaysia terpaksa menanggung akibat daripada keputusan badan sukan antarabangsa.
Sehubungan itu, dia menggesa supaya pesuruhjaya sukan diberikan kuasa untuk mencegah pemalsuan dokumen serta memastikan hanya warganegara Malaysia mewakili negara.
“Pesuruhjaya perlu diberi kuasa untuk memastikan tak ada lagi pemalsuan dokumen, jangan benarkan siapa-siapa yang bukan warganegara Malaysia untuk menyarung jersi Malaysia, main untuk Malaysia di padang bola sepak mewakili Malaysia,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/12/51e2038ffae55ff307886cb58be8ad21.jpg)
