Pihak berkuasa pengampunan akan tentukan syarat tahanan rumah Najib, kata menteri
Pihak berkuasa pengampunan akan menentukan syarat dan sekatan yang dikenakan ke atas Najib Razak apabila dia menjalani hukuman tahanan di rumah.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata bahawa ini termasuk peraturan berkaitan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV), gelang elektronik serta kategori pelawat yang dibenarkan bagi tahanan rumah yang masih belum dimuktamadkan.
Ketika ini, timbul kekeliruan berhubung peraturan yang perlu dipatuhi bekas perdana menteri itu sekiranya dia dibenarkan pulang ke rumah.
Seorang peguam memberitahu Malaysiakini bahawa jika Najib dibenarkan tinggal bersama isterinya Rosmah Mansor, tiada apa yang dapat menghalangnya daripada menggunakan telefon bimbit milik isterinya.
/file/attachments/orphans/homeministry2_291033.png)
Tanpa menyebut nama Najib secara khusus, Saifuddin dalam jawapan bertulis parlimen berkata pelaksanaan tahanan di rumah di bawah pengampunan bersyarat tidak sama dengan perintah tahanan rumah yang dicadangkan di bawah Rang Undang-Undang Tahanan Rumahn kerana rangka kerja statutori sedemikian belum wujud.
Dia menjelaskan bahawa pelaksanaan pengampunan bersyarat merupakan prerogatif pengampunan di bawah perlembagaan persekutuan dan pelaksanaannya adalah tertakluk kepada keputusan serta syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa pengampunan yang berkenaan.
“Oleh itu, sesuatu penempatan di rumah yang dibuat berikutan keputusan pengampunan bersyarat tidak boleh disamakan secara langsung dengan perintah tahanan rumah yang dikeluarkan oleh mahkamah di bawah suatu akta khusus.
“Bagi pengampunan bersyarat, apa-apa syarat berkaitan kawalan, pemantauan pergerakan, lawatan atau perkara-perkara lain adalah tertakluk kepada keputusan dan syarat yang ditetapkan serta prosedur pelaksanaan yang berkuat kuasa.
“Sebagai contoh, dalam pelaksanaan keputusan pengampunan bersyarat yang melibatkan banduan perlu berada di kediaman, aspek seperti lawatan, kawalan dan pemantauan pergerakan perlu diperincikan melalui prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan,” katanya.
Saifuddin bagaimanapun tidak memperincikan maksud “pihak berkuasa pengampunan” atau sama ada ia merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong atau Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.
Sebelum ini, pemimpin PH mengisyaratkan bahawa keputusan membenarkan Najib menjalani tahanan di rumah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menerusi kuasa prerogatif perlembagaan baginda.
Tahanan di rumah berkenaan berkaitan dengan kes SRC International yang dihadapi Najib dan akan berlanjutan sehingga 23 Ogos 2028. Bagaimanapun, dia mesti menjelaskan denda RM50 juta yang dikenakan ke atasnya terlebih dahulu sebelum dibenarkan pulang.
Umno dilaporkan masih mengumpul dana bagi membayar denda tersebut.
Semasa mengumumkan keputusan pengampunan pada 18 September lalu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di bawah Jabatan Perdana Menteri memaklumkan bahawa Najib mesti mematuhi semua syarat yang ditetapkan dan akan dihantar semula ke penjara sekiranya gagal berbuat demikian.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/09/19a91959a8d049e7c64e96d90aaea320.jpg)
Syarat-syarat tersebut bagaimanapun masih belum diperincikan.
Sementara itu, selepas pengampunan tersebut diumumkan, Saifuddin berkata Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Penjara masih menunggu maklumat terperinci mengenai pengampunan bersyarat itu daripada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.
Peguam Negara Dusuki Mokhtar kemudiannya dilaporkan berkata Jabatan Penjara akan mengeluarkan SOP bagi mengawal selia pelaksanaan tahanan di rumah tersebut.
Sementara itu, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zamri Misman, berkata perincian prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pelaksanaan tahanan rumah sudah dimaklumkan kepada Najib.
"Jabatan Penjara sudah memaklumkan perincian kepada Datuk Seri Najib," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini apabila diminta mengulas lanjut mengenai syarat dan prosedur tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said pula berkata kementeriannya hanya berfungsi sebagai urusetia Lembaga Pengampunan dan dia tidak mempunyai maklumat lanjut berhubung perkara itu.
Ditanya berhubung proses tahanan rumah Najib, Azalina enggan mengulas lanjut.
"Itu boleh tanya kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh," katanya.
/file/1282/1700ad1eb7e7721f4153b47b7bdb9de0.jpeg)
