Gangguan manusia atau bencana alam?

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat sedih dengan kejadian tanah runtuh yang berlaku di Kampung Sungai Ruil, Cameron Highlands yang telah meragut tujuh nyawa.

Sementara punca kejadian tanah runtuh yang melanda penempatan Orang Asli tersebut disiasat oleh pihak berkuasa, terdapat spekulasi bahawa kerja membersih tanah dan kerja tanah berdekatan penempatan itu untuk pembangunan perumahan oleh sebuah sebuah syarikat berkemungkinan telah menyumbang kepada bencana itu.

CAP telah memaklumkan kepada pihak berkuasa dalam surat bertarikh 26 Mei 2011 berhubung kerja tanah secara besar-besaran untuk pembangunan projek selepas menerima aduan daripada penduduk tempatan dan pelancong yang berang dengan keadaan itu.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengarahkan pihak kontraktor supaya menjalankan kerja kawalan dan penstabilan cerun memandangkan kawasan itu terdedah dan berpotensi untuk terhakis.

Persoalannya ialah adakah pembangunan projek ini menjadi pemangkin bencana di Kampung Sungai Ruil?

Walaupun aduan dan amaran awal telah dibuat, kami merasakan bahawa tindakan wajar yang berkesan tidak diambil. Jika pihak berkuasa telah memantau dengan teliti sekitar Kampung Sungai Ruil, mengesan tanda awal kegagalan cerun dan bahaya yang akan berlaku, mungkinkah bencana ini boleh dielakkan?

Terdapat lebih daripada 600 kematian akibat tanah runtuh sejak 1973. Siapakah yang bersalah terhadap kematian ini? Dalam banyak kejadian, alam telah dipersalahkan, menyebabkan pesalah sebenar terlepas dan bebas.

Mengambilkira bahaya geologi yang serius yang telah menyebabkan kematian, kecederaan, kerosakan dan pemindahan penduduk, kerajaan Malaysia telah mewujudkan Pelan Induk Cerun Negara (National Slope Master Plan - NSMP) 2009-2023 yang antara objektifnya ialah untuk mengurangkan risiko sebelum tanah runtuh berlaku.

NSMP menyatakan bahawa di Malaysia, daripada 1973 hingga 2007,  kira-kira 440 tanah runtuh dilaporkan. Terdapat juga lebih beribu-ribu kejadian tanah runtuh dan kegagalan cerun kecil yang ‘tidak dilaporkan’.

Jumlah kerugian ekonomi akibat daripada kejadian tanah runtuh adalah dianggarkan lebih daripada RM3 bilion dalam tempoh 35 tahun lalu.

Kerajaan Malaysia mempunyai pelan induk cerun, butiran lengkap, komprehensif dan rangka kerja dasar yang berkesan, strategi dan pelan tindakan untuk mengurangkan risiko daripada kejadian tanah runtuh di kawasan cerun di seluruh negara.

Adakah pelan tindakan ini dilaksanakan dengan cekap dan berkesan?

Ramai daripada kita melihat bukit yang tandus, cerun yang terdedah akibat kerja tanah, pembangunan dan tanah runtuh ketika memandu sepanjang jalan utama dan lebuh raya di negara ini.

Kami bimbang cerun yang terdedah ini akan menjadi bencana yang akan datang. Kami berharap pihak berkuasa yang bertanggungjawab juga telah melihat kawasan yang terdedah kepada tanah runtuh dan tertanya-tanya sama ada tindakan telah diambil.

Apabila bencana berlaku, kami tahu bahawa tindakan yang wajar tidak diambil.

Kesan pembangunan di atas bukit, tanah tinggi dan hutan yang berleluasa akan berterusan jika pihak kerajaan membenarkannya.

Alam mempunyai batasannya dan kemerosotannya biasanya memberi kesan buruk dan bebanan berat kepada komuniti miskin dan penduduk asli. Tanpa mengambilkira kesan terhadap alam sekitar, pembangunan ekonomi akan melenyapkan sumber alam.

Kerajaan, ahli perniagaan dan pengguna perlu mula bertindak secara bertanggungjawab untuk kebaikan diri dan generasi akan datang sebelum bencana yang lebih dahsyat menimpa kita semua.


Penulis adalah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.